Risiko Perang, EU Gesa Rakyat Simpan Bekalan Untuk Bertahan 72 Jam
Kesatuan Eropah (EU) menggesa rakyatnya menyimpan bekalan makanan dan keperluan asas lain yang membolehkan mereka bertahan sekurang-kurangnya 72 jam sekiranya berlaku krisis.
Dalam panduan yang diterbitkan pada Rabu, jawatankuasa itu menekankan kepentingan untuk Eropah mengubah pemikiran ke arah memupuk budaya ‘kesiapsiagaan’ dan ‘ketahanan’.
Dokumen berkenaan turut mengeluarkan amaran bahawa Eropah ketika ini sedang berdepan dengan realiti baharu yang dicemari risiko dan ketidakpastian.
EU gesa rakyat simpan bekalan untuk bertahan 72 jam
Peperangan yang meletus antara Rusia dengan Ukraine, peningkatan ketegangan geopolitik , tindakan sabotaj terhadap infrastruktur kritikal serta peperangan elektronik disebut sebagai faktor utama kepada situasi yang sedang dihadapi.
Inisiatif Brussels itu dilihat berfungsi sebagai satu amaran kepada negara-negara anggota mengenai tahap kritikal keadaan keselamatan blok tersebut.
Menurut CNN, ancaman berterusan daripada Rusia dikatakan telah mendorong pemimpin Eropah menekankan keperluan untuk kesediaan berperang.
Manakala pendekatan konfrontasi pentadbiran Trump terhadap Eropah, terutamanya mengenai sumbangan kepada NATO dan perang di Ukraine turut mewujudkan ketegangan.
Keadaan ini turut mencetuskan perlumbaan di benua itu bagi memperkukuh kesiapsiagaan ketenteraannya sendiri.
Susulan itu, Suruhanjaya Strategi Kesiapsiagaan EU menyarankan rakyat di dalam blok tersebut untuk mengamalkan pendekatan praktikal bagi memastikan mereka bersedia sekiranya berlaku kecemasan.
Menerusi dokumen berkenaan, suruhanjaya tersebut menyarakan bekalan keperluan asas yang mencukupi perlu dimiliki bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari.
“Dalam situasi gangguan yang melampau, tempoh awal adalah yang paling kritikal,” jelas suruhanjaya itu.
Secara keseluruhannya, suruhanjaya tersebut menerusi dokumen strategi itu turut menggalakkan rakyat memupuk sifat berdikari dan daya tahan psikologi.
Malah, saranan turut dibuat agar sekolah-sekolah dalam kesatuan berkenaan memperkenalkan subjek kesiapsiagaan dalam kurikulum masing-masing.
Antaranya melatih kemahiran menangkis maklumat yang salah serta manipulasi maklumat terhadap murid.
Dalam pada itu, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata, realiti baharu ini telah menuntut tahap kesiapsiagaan yang baharu di Eropah.
“Rakyat, negara anggota dan perniagaan kita memerlukan alat yang betul untuk bertindak bagi mencegah krisis dan bertindak balas dengan pantas apabila berlaku bencana,” ujarnya.
Garis panduan EU itu dikeluarkan pada Rabu setelah setiap wilayah pentadbiran mengemas kini pelan kontingensi masing-masing.
BACA: 3 Maut, 5 Cedera Dalam Kemalangan Ngeri Di Renggam
Sumber: CNN World