Dijangka Tiba Tengah Hari Ini, Malaysia Hantar Pasukan SMART Ke Myanmar
KUALA LUMPUR — Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kini dalam persiapan sebelum berangkat ke kawasan paling terjejas akibat gempa bumi di Myanmar bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menerusi perkongsian di Facebook rasmi pasukan itu, memaparkan pasukan SMART, MAS-01 telah diaktifkan, dengan pegawai dan anggota sedang menjalankan tugas trial loading peralatan dan kenderaan operasi di dalam pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum bergerak ke sana.
Difahamkan, pasukan ini akan membawa peralatan khas penyelamatan untuk kegunaan operasi USAR.
“Seksyen Penyelarasan Operasi dan Seksyen Kewangan dan Perolehan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaksanakan koordinasi Home support bagi atur gerak pasukan SMART.
“Pasukan SMART telah menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada tahun 2016 yang membolehkan pasukan itu dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara,” maklum SMART.
Dijangka Tiba Tengah Hari Ini Di Yangon, Myanmar

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan pasukan tersebut dijadualkan tiba di Yangon hari ini sekitar jam 1.00 tengah hari.
Menurut Ahmad Zahid, sebagai negara jiran yang prihatin dan rakan solidariti dalam komuniti ASEAN, Malaysia menyatakan komitmen penuh dalam membantu negara-negara yang terjejas.
Ia termasuk misi bantuan kemanusiaan ke Thailand juga sedang diselaras dan akan digerakkan dalam masa terdekat.
“Kerajaan Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri (NADMA) kekal komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam pengurusan bencana, khususnya melalui penyediaan kepakaran, aset teknikal dan sokongan logistik bagi meringankan penderitaan mangsa serta mempercepatkan proses pemulihan pasca bencana.
“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Myanmar dan Thailand dalam menghadapi saat-saat sukar ini, dan akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha bantuan kemanusiaan di rantau ini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam terhadap insiden gempa bumi yang berpusat di Myanmar termasuk Thailand yang menerima impak itu.
“Kejadian ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan serius serta kerosakan besar kepada bangunan dan infrastruktur awam di kedua-dua negara.
“Lebih memilukan, terdapat laporan mengenai mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan, manakala usaha menyelamat sedang dijalankan dalam keadaan mencabar,” katanya lagi.
Terdahulu, gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 dilapor melanda Myanmar pada kedalaman 10 kilometer dan beberapa minit kemudian, gempa susulan berukuran 6.4 pada Skala Richter melanda kawasan yang sama.
Gegaran kedua-dua gempa turut dirasai di Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh City.
Sumber: SMART Malaysia, Facebook Ahmad Zahid