Fenomena Gerhana Matahari Separa Dijangka Berlaku Petang Ini
Agensi Angkasa Malaysia (MySA) memaklumkan bahawa satu fenomena Gerhana Matahari Separa dijangka berlaku pada 29 Mac 2025, hari ini.
Dalam kenyataan tersebut, fenomena itu bakal berlangsung bermula sekitar jam pukul 4.50 petang hingga 8.43 malam waktu Malaysia.

Walau bagaimanapun, fenomena ini tidak dapat disaksikan di Malaysia kerana laluan bayang-bayang penumbra Bulan tidak melalui mana-mana kawasan di Malaysia pada waktu tersebut.
Maklum MySA, fenomena ini dapat dilihat di kawasan seperti, Eropah dan Rusia.

“Fenomena ini akan dapat dilihat di bahagian timur laut Amerika Utara, Greenland, Iceland, Lautan Atlantik Utara, sebahagian besar Eropah, dan barat laut Rusia.
“Antara lokasi utama yang akan mengalami fenomena ini termasuk Iqaluit, Kanada, Glasgow, dan United Kingdom.
Difahamkan, Malaysia akan dapat menyaksikan fenomena ini pada 2 Ogos 2027 dan 22 Julai 2028.

Apa itu Fenomena Gerhana Matahari Separa?
Fenomena Gerhana Matahari Separa ini terjadi apabila Bulan melintasi di antara Matahari dan Bumi, tetapi tidak sejajar sepenuhnya, menyebabkan hanya sebahagian daripada Matahari dilitupi oleh Bulan.
Ini menjadikan Matahari kelihatan seperti sabit. Fenomena ini berlaku 1 hari sebelum Bulan berada pada kedudukan perigee, iaitu titik orbit Bulan yang berada pada kedudukan terdekat dari Bumi dengan jarak 358,123 km.
Untuk info penumbra adalah bahagian bayang luaran separa gelap (bayang Bumi atau Bulan). Manakala Magnitud gerhana (Eclipse magnitude) adalah pecahan diameter sudut (angular diameter) Matahari yang dilitupi oleh Bulan. Dinyatakan dalam peratus atau pecahan perpuluhan (contoh: 50% atau 0.50).
Sebelum ini, MySA dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa satu fenomena gerhana bulan penuh berlangsung bermula sekitar jam 11.57 pagi awal Mac.
“Fasa gerhana bulan penuh akan bermula pada pukul 2.26 petang waktu tempatan. Kemuncak Gerhana Bulan Penuh akan berlaku pada pukul 2.58 waktu tempatan,” katanya.
Sumber: Facebook MySA