Siakap Keli
malaysia teacher prize
Kredit: Facebook

Malaysia Teacher Prize Kembali Lagi, Iktiraf Guru Berwibawa

Malaysia Teacher Prize Kembali Lagi, Iktiraf Guru Berwibawa

Organisasi bukan berasaskan keuntungan, Global Education Leaders Malaysia (PEMIMPIN) menganjurkan inisiatif mencari dan meraikan guru-guru berdedikasi serta memberi impak mendalam terhadap kehidupan murid menerusi anugerah Malaysia Teacher Prize (MTP).

Diadakan buat tahun keempat, anugerah ini merupakan platform yang memartabatkan kerjaya perguruan selain memberi inspirasi terhadap para pendidik.

Membawakan tema “The Power of a Teacher, The Potential of a Nation”, penganjuran MTP sebagai salah satu komitmen organisasi berkenaan dalam mempamerkan amalan pengajaran yang berkesan, malah memperkenalkan penyelesaian inovatif.

Di samping itu, penganjuran inisiatif ini turut diharap dapat memastikan guru-guru cemerlang menerima pengiktirafan selayaknya di peringkat kebangsaan.

Pengarah Eksekutif PEMIMPIN, Samuel Isaiah berkata, anugerah ini tidak hanya sekadar hadiah, tetapi merupakan satu anjakan paradigma.

“Dengan menonjolkan kisah guru-guru ini, kami mahu mencetuskan satu perubahan yang memberi kuasa kepada guru untuk mempengaruhi dan memberi input dalam dasar pendidikan, dan mendefinisikan semula apa yang sebenarnya boleh dicapai dalam pendidikan Malaysia,” ujarnya.

Menerusi kenyataan yang sama, beliau turut memetik kejayaan salah seorang Pemenang MTP pada tahun 2023, Cikgu Nazmi yang berjaya menjadi 10 Peserta Akhir Teratas, anugerah Global Teacher Prize 2025 dengan menyifatkan kejayaan itu menjadi bukti guru-guru Malaysia mampu bertaraf dunia.

“Melalui MTP, kami mahu terus memberikan wadah kepada mereka dan memastikan impak mereka bukan hanya diiktiraf di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Varkey Foundation, MTP turut menerima tajaan daripada YTL Foundation, Yayasan Hasanah, Kementerian Kewangan, dan ECM Libra Foundation bagi memartabatkan kerjaya perguruan.

Tidak seperti tahun-tahun lalu, anugerah MTP 2025 menawarkan ganjaran yang lebih tinggi dengan jumlah keseluruhan wang tunai RM75,000. Pemenang anugerah bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 manakala lima peserta akhir teratas bakal menerima wang tunai sebanyak RM5,000. Malah, pihak penganjur turut menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM1,000 bagi 10 peserta akhir teratas.

Sumber: Facebook Pemimpin GSL Malaysia

BACA: Dr Roland Victor Dibebaskan Daripada Tuduhan Buat Hantaran Jelik Berhubung Vaksin COVID-19

BACA: “Salah Pijak, Boleh Terjelus,” Anggota Bomba Kongsi Detik Gerun Di Ground Zero

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: