Harga Tiket Perlawanan Man United Cecah RM1,500
Harga tiket perlawanan persahabatan antara Manchester United menentang ASEAN All Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil telah diumumkan di laman pembelian myticketempire.com.
Menerusi laman pembelian, harga tiket yang dijual di atas talian bermula serendah RM50 untuk tempat duduk biasa hingga mencecah RM1,500 bagi kerusi VIP.
Difahamkan, kelab gergasi Liga Perdana Inggeris ini bakal mengadakan aksi persahabatan pada 28 Mei ini sebelum ke Hong Kong bagi melengkapkan Jelajah Asia pada 30 Mei.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Manchester United, Omar Berrada berkata, pihak mereka amat menghargai sokongan yang dinikmati Manchester United di seluruh dunia.
“Pada musim panas ini, kami berbesar hati untuk mengumumkan jadual (jelajah) yang membolehkan peminat kita di Asia, Scandinavia dan Amerika Syarikat berhubung dengan kelab dan melihat skuad utama beraksi dalam persekitaran tempatan,” katanya menerusi laman sesawang rasmi Manchester United.
MU pernah berkunjung ke Kuala Lumpir pada tahun 2009
Sebelum ini, Bernama melaporkan dua perlawanan yang dibawakan oleh Snapdragon dan dianjurkan ProEvents adalah jelajah pascamusim pertama dalam era moden kelab berkenaan, serta menandakan kepulangan mereka ke Asia selepas kemenangan 4-0 ke atas Liverpool di Bangkok pada Julai 2022.
“Kali terakhir kelab ini berkunjung ke Kuala Lumpur adalah pada tahun 2009, dan ke Hong Kong pada tahun 2013, namun hubungan antara Manchester United dan jutaan peminat setia di seluruh Asia kekal utuh seperti dahulu.
“Ketika pasukan utama lelaki sah akan menyertai Siri Musim Panas Liga Perdana Inggeris di Amerika Syarikat (AS) menjelang musim 2025/26, perlawanan pada bulan Mei ini memberikan peluang unik kepada para pemain dan kakitangan untuk berinteraksi secara langsung dengan peminat di Asia.
“Selain itu, kelab juga berpeluang mengeratkan kerjasama dengan rakan niaga komersial yang penting di rantau ini,” menurut kenyataan itu.
Selepas jelajah Asia, Manchester United akan menentang Leeds United di Stockholm pada 19 Julai sebelum berlepas ke AS untuk Siri Musim Panas Liga Perdana Inggeris menentang West Ham United (26 Julai), diikuti Bournemouth (30 Julai) dan Everton (3 Ogos).
BACA: Lori Tangki Terbalik & Meletup, Puluhan Kenderaan Terbakar
Sumber: My Ticket Empire, Manchester United