Lori Tangki Terbalik & Meletup, Puluhan Kenderaan Terbakar
Sebuah lori tangki yang membawa muatan etanol dilapor terbalik secara mengejut dan meletup di lebuh raya utama di Santa Catarina, Brazil, lapor The Sun UK.
Insiden itu sekaligus menyebabkan lori tangki itu terbakar dengan serta-merta, manakala sejumlah besar muatan etanol yang dibawa tumpah di atas jalan sebelum merebak ke kereta lain.
Dalam hanya beberapa saat, puluhan kenderaan turut terbakar dengan asap kelabu serta api marak memenuhi jalan, menyebabkan lalu lintas terhenti sepenuhnya.
Menurut The Sun UK, sebanyak 22 kereta dan tiga lori terjejas, manakala lima orang termasuk pemandu lori tangki dan isterinya mengalami kecederaan.
Difahamkan, anggota bomba dari beberapa bandar dikerahkan ke lokasi nahas untuk mengawal kebakaran, selain lebuh raya itu ditutup di kedua-dua arah selepas kejadian.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut memaparkan bagaimana lori berkenaan terbabas ketika melalui selekoh dan terbalik hingga menyebabkan limpahan berapi.
Punca kemalangan masih dalam siasatan
Sementara itu, portal BNO News melaporkan bahawa insiden yang berlaku kira-kira jam 1.37 tengah hari (waktu tempatan) telah mencetuskan kebakaran besar sehingga menyebabkan lima orang cedera.
Pemandu lori tangki mengalami melecur di bahagian tangan dan kaki sebanyak 30 peratus, manakala isterinya mengalami melecur kira-kira 20 peratus dan telah dibawa ke fasiliti kesihatan tempatan.
Menurut BNO News, keadaan tiga lagi mangsa yang mengalami kecederaan sama tidak didedahkan.
Seramai 36 pasukan kecemasan dan keselamatan dikerah ke lokasi termasuk bomba, polis, kakitangan pertahanan awam dan ambulans.
Pihak berkuasa melaporkan sebuah lagi lori membawa gas petroleum cecair (LPG) yang berada di belakang lori tangki terbabit sempat berhenti sewaktu kejadian, namun telah dipindahkan dengan selamat sebelum api merebak.
Difahamkan, lebuh raya berkenaan akan ditutup sehingga pemberitahuan lanjut, manakala punca kemalangan masih dalam siasatan.
https://x.com/cirosalla/status/1909013105528520725
BACA: Betul Ke Kena Tekan “Push Start Button” 3 Kali? Ini Jawapannya
BACA: Lelaki Dakwa ‘Ditampar’ Secara Maya, Saman Syarikat Permainan Video
BACA: Jerutan Di Leher Punca Kematian Zayn Rayyan – Pakar Perubatan Perunding Forensik
Sumber: The Sun UK, BNO News