Geran Agropreneur Muda (GAM) Start-Up Tawar RM30,000 Tanpa Bayar Balik
Program Geran Agropreneur Muda (GAM) Start-Up, menawarkan sehingga RM30,000 tanpa bayaran balik bagi golongan muda yang berusia antara 18 hingga 43 tahun.
Perkara itu dimaklum Jabatan Pertanian Malaysia dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi miliknya.
Difahamkan, program ini di bawah Geran Agropreneur Muda (PAM) menyediakan bantuan geran dalam bentuk barangan sehingga RM30,000 dan juga khidmat nasihat teknikal daripada jabatan atau agensi pembimbing.
Sebelum ini, nilai maksimun program ini berjumlah RM20,000 sebelum dinaikkan kepada RM30,000.

Apa itu Geran Geran Agropreneur Muda Start-up?
Geran Agropreneur Muda Start-up ini adalah bantuan inkubator yang diberikan oleh kerajaan untuk membantu agropreneur muda meminimumkan kos kewangan dalam memulakan perniagaan.
Geran ini disediakan dalam bentuk barangan, dengan nilai maksimum RM30,000 untuk projek huluan pertanian (seperti tanaman, ternakan, dan perikanan), dan RM20,000 untuk projek industri makanan dan asas tani.
Program Agropreneur Muda diwujudkan di bawah perlaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).
Ia bertujuan membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang sektor agromakanan yang merangkumi kesemua bidang di sepanjang rantaian nilai seperti tanaman, ternakan dan perikanan, serta industri makanan termasuk pemasaran, penyediaan perkhidmatan sokongan dan input pertanian serta agropelancongan
Syarat-Syarat Permohonan GAM
- Pemohon Geran Start-up perlulah berumur antara 18 hingga 43 tahun.
- Pemohon boleh membaca, mengira dan menulis.
- Pemohon wajib mengikuti program kursus atau latihan teknikal yang dianjurkan oleh Jabatan atau Agensi di bawah Kementerian, atau yang telah diiktiraf oleh Kementerian (bagi usahawan projek baharu).
- Pemohon mestilah berpendapatan bersih kurang dari RM5,000 sebulan.
- Pemohon perlu mempunyai tanah atau premis sedia ada untuk pelaksanaan projek (milikan sendiri, sewa atau kebenaran pemilik).
- Pemilik digalakkan mempunyai SSM atau lesen yang berkaitan dengan projek yang dipohon.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web rasmi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan makanan di sini.
Sumber: Kementerian Pertanian Malaysia