Siakap Keli
Bina Lorong Boling DIY
Kredit: Bernama

Inisiatif Guru Bina Lorong Boling DIY Di Sekolah, Tarik Minat Murid

Inisiatif Guru Bina Lorong Boling DIY Di Sekolah, Tarik Minat Murid

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) — Prihatin terhadap kos yang mungkin membebankan ibu bapa, dua orang guru daripada Sekolah Kebangsaan Seri Gedong, Sungai Petani, Kedah mengambil inisiatif membina sendiri (DIY) lorong boling di sekolah itu bagi mendedahkan murid kepada sukan berkenaan.

Mohd Khairul Farhan Bukhari, 36, dan Nazar Mahmud, 53, memulakan inisiatif itu pada penghujung Mei tahun lepas setelah melihat kejayaan projek sama di sebuah sekolah lain di negeri tersebut.

“Kami memang sudah ada pengalaman asas dalam sukan ini, dan sebelum ini ada melatih beberapa orang murid di pusat boling komersial berdekatan dengan sekolah.

“Kemudian kami nampak rakan sejawatan kami di Padang Terap membina lorong boling DIY di sekolah mereka. Jadi, kami terfikir untuk bangunkan projek sama di sekolah sendiri. Apatah lagi pihak sekolah memang bercadang menubuhkan kelab boling,” kata Mohd Khairul kepada Bernama.

Projek yang kini siap 90 peratus itu menelan belanja kira-kira RM3,000 dan dibiayai dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut.

Mohd Khairul berkata lorong boling sepanjang 18 meter itu dibina di kawasan kaki lima bangunan sekolah dengan menggunakan papan lorong boling terpakai yang dibeli daripada sebuah pusat boling komersial.

Menurutnya, buat masa ini pin disusun secara manual sementara bola pula kembali kepada pemain dengan memanfaatkan graviti.

“Kami dalam perancangan untuk menambah baik sistem ini agar pin dapat disusun secara automatik,” katanya.

Sementara itu, Nazar berkata lorong boling tersebut dapat menampung hingga enam pemain pada satu-satu masa, membolehkan mereka menjalankan latihan dengan lebih teratur.

“Sebelum kami bina lorong boling ini, latihan dijalankan di sebuah hotel berhampiran yang memiliki kemudahan boling, namun kos sekitar RM8 hingga RM9 bagi setiap sesi menjadi kekangan, terutama bagi murid daripada keluarga B40,” katanya, menambah kewujudan lorong boling tersebut juga berjaya menarik minat lebih ramai pelajar kepada sukan berkenaan.

Menurutnya, di sebalik kekangan yang dihadapi sebelum ini, beberapa orang murid sekolah itu menyertai pertandingan di peringkat daerah dan negeri, termasuk kejohanan boling Majlis Sukan Sekolah Malaysia, secara individu.

“Dengan adanya lorong boling sendiri ini kami harap lebih ramai murid dapat diasah bakatnya dalam sukan boling dan tidak lagi melihatnya sebagai sukan elit yang mahal untuk diceburi,” katanya.

BACA: Lori Tangki Terbalik & Meletup, Puluhan Kenderaan Terbakar

Sumber: Bernama

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.