Siakap Keli
Bunyi

Tiap Pagi Bunyi Kuali Tapi Asyik Hidang Biskut, Lelaki Terkedu Ayah Bongkar Rahsia Arwah Ibu

Tiap Pagi Bunyi Kuali Tapi Asyik Hidang Biskut, Lelaki Terkedu Ayah Bongkar Rahsia Arwah Ibu

Ramadan telah berlalu pergi tetapi keberkatan bulan mulia ini terus dirindui. Dari menu istimewa ketika berbuka hingga cara mengejutkan ahli keluarga untuk bersahur, semua ini menjadi kenangan berharga yang diwarisi dari generasi ke generasi.

Mungkin bagi sesetengah orang, kenangan paling manis adalah saat ibu bangun awal untuk siapkan sahur. Ataupun, ketika ayah bersungguh kejutkan anak-anak walau dengan cara paling pelik sekalipun. Tapi pernah tak anda terfikir, kenapa kadang-kadang bunyi di dapur lain macam, tapi makanan yang dihidang cuma biskut?

Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan penuh kenangan—terutamanya saat sahur. Setiap keluarga ada cara tersendiri untuk mengejutkan ahli keluarga bangun sahur; ada yang guna suara kuat, ada yang mainkan lagu raya awal pagi, dan tak kurang juga yang kreatif ketuk kuali dan senduk!

Disebabkan itulah, filem pendek ‘Bunyi Sahur’ terbitan Indah Water Konsortium (IWK) ini bukan sekadar cerita biasa. Ia diilhamkan daripada kisah sebenar seorang kakitangan IWK, menjadikannya lebih bermakna dan dekat di hati ramai penonton.

‘Bunyi Sahur’ Begitu Istimewa: Kisah Kesyukuran & Ketabahan Dalam Kesederhanaan

Filem ini mengetengahkan kisah Sham, lakonan Syafiq Kyle, yang dibesarkan dalam keluarga sederhana bersama ibu (Jah, lakonan Nadiya Nisaa) dan ayahnya, Salleh (lakonan Datuk Rahim Razali), seorang anggota keselamatan.

Selepas kehilangan ibunya, Sham mendapati ayahnya sering termenung dan hilang selera makan ketika sahur. Dalam usahanya mengembalikan keceriaan Ramadan mereka, Sham menghidupkan kembali satu tradisi lama – membuat bunyi sahur dengan mengetuk kuali, satu amalan ibunya yang sentiasa membuat mereka terasa ‘cukup’ walaupun cuma bersahur dengan biskut.

Menariknya, di sebalik bunyi riuh dari dapur setiap pagi, ibu mereka sebenarnya tidak menyediakan lauk mewah. Tetapi dia mahu anak-anaknya bangun dengan rasa semangat dan syukur – sesuatu yang begitu menyentuh hati bila Sham akhirnya tahu kebenarannya.

Lebih Dari Sekadar Filem Pendek: Inspirasi Dari Warga IWK

Menurut Wan Esuriyanti Wan Ahmad, Ketua Komunikasi Korporat IWK, filem pendek ini bukan sahaja berkisar tentang nilai kekeluargaan, tetapi juga mencerminkan semangat warga kerja IWK.

“Kami bekerjasama dengan pasukan kreatif daripada Layar Lucida dalam menerbitkan filem pendek ini. Apabila pengarah dan penerbit mencerita kisah ini, kami rasakan ia terlalu dekat dengan semangat kental kakitangan IWK,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa pekerjaan mereka mungkin kelihatan ‘kotor, sukar dan berisiko’, tetapi semangat tanggungjawab dan amanah yang dipikul setiap hari menjadikan kerja mereka satu ibadah demi kesejahteraan rakyat dan alam sekitar.

Sebuah Memori, Sebuah Pengajaran

Kesyukuran bukan sekadar tentang apa yang kita miliki, tetapi bagaimana kita menghargai setiap nikmat dalam kehidupan – walaupun hanya sepinggan biskut untuk sahur.

Jelaslah, bulan Ramadan adalah waktu terbaik untuk mengingati kenangan lama dan menghargai setiap momen bersama keluarga. “Bunyi Sahur” bukan sekadar sebuah video raya biasa, tetapi ia adalah satu refleksi tentang bagaimana momen kecil dalam hidup kita mampu menjadi memori paling berharga.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan video penuh nostalgia ini di saluran YouTube IWK dan hayati mesej mendalam yang ingin disampaikan.

Adib Mohd

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: