Siakap Keli
putra heights baiki sendiri
Kredit: Bernama

Kebakaran Putra Heights: Tidak Mahu Susahkan Sesiapa, Mangsa Baiki Sendiri Rumah Terjejas

Kebakaran Putra Heights: Tidak Mahu Susahkan Sesiapa, Mangsa Baiki Sendiri Rumah Terjejas

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) — Seorang mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor mengambil inisiatif membaiki sendiri kerosakan rumahnya kerana enggan menyusahkan sesiapa, selain mahu bantuan berkenaan diberikan kepada pihak lebih memerlukan.

Rohmani Masjidin, 54, yang menetap di Kampung Kuala Sungai Baru berkata rumahnya hanya mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, berbanding rumah mangsa lain yang terjejas teruk.

“Saya baiki sendiri kerosakan yang berlaku sebab kalau tengok rumah mangsa-mangsa lain lebih teruk dan perlu dibaik pulih dengan segera, mereka dah tiada tempat berteduh.

“Jadi, saya usahakan juga guna wang sendiri untuk baiki bumbung rumah yang terjejas akibat kebakaran itu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights ketika hadir menerima bantuan daripada sebuah syarikat swasta hari ini.

Insiden kebakaran saluran paip gas yang berlaku pukul 8.10 pagi pada 1 April lepas, menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Insiden itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas.

Rohmani yang berniaga makanan secara kecil-kecilan di hadapan rumah didiami bersama suami dan seorang anaknya berkata beliau membelanjakan kira-kira RM1,000 untuk membaiki kerosakan itu.

“Selepas dua hari kejadian, baru kami sekeluarga pulang ke rumah setelah menumpang tidur di rumah saudara di Kepong.

“Apabila sampai rumah, rasa bersyukur kerana keadaan tidak seteruk rumah lain,” katanya, sambil menambah bahawa kerosakan hanya dibaiki selepas beliau dan keluarga kembali ke rumah berkenaan.

Berkongsi pengalaman, Rohmani berkata beliau ‘berlari’ hingga tersembam di atas jalan ketika menyelamatkan diri, selain terlupa suaminya yang mengalami sakit pada bahagian pinggang berada di rumah itu.

“Saya hanya jerit ‘abang keluar, keluar lari’, selepas itu saya lari sehingga ke tepi sungai, otak dah tak boleh fikir masa itu.

“Selepas jatuh tersembam di tepi sungai baru saya ingat suami dan anak tertinggal di belakang. Apabila sudah lari jauh, ada orang beritahu suami saya dah selamat dibawa naik kereta, ketika itu baru saya dapat menarik nafas lega,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Roseniza Bidin, 56, dan suaminya Abdul Ghani Abdul Aziz, 57, yang tinggal hampir dengan kawasan ground zero berkata mereka sekeluarga kini bagaikan gelandangan selepas rumah didiami bersama dua anak selama tujuh tahun musnah sepenuhnya.

“Sebelum ini, apabila balik rumah kita dapat tidur di atas katil dengan selesa dan sekarang kami kehilangan semuanya dan tidak tahu hendak berteduh di mana. Kami sudah mula mencari rumah sewa di kawasan kampung tapi belum dapat rumah yang sesuai.

“Kami dapat bantuan rumah Airbnb tapi ia hanya untuk tempoh sebulan. Selepas itu, kami perlu menyewa di tempat lain,” katanya yang juga ditemui di PPS sama.

Sumber: Bernama

BACA: Kebakaran Paip Gas: Polis Kenal Pasti Dalang Sebar Kes Kematian Menerusi Media Sosial

BACA: Rombongan Hantar Jemaah Umrah Bertukar Tragedi, 7 Maut Akibat Kemalangan

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.