Saintis Dakwa “Ini” Solusi Hadapi Cuaca Panas
Memilih warna putih untuk mengecat dinding mungkin kedengaran mudah. Tetapi realitinya, pilihan warna putih datang dalam pelbagai nama seperti “Pure White”, “Alabaster”, “White Dove” dan beratus-ratus lagi variasi.
Namun kini, saintis dari Universiti Purdue di Amerika Syarikat (AS) telah mencipta satu cat putih yang benar-benar berbeza.
Difahamkan, ia bukan sahaja cat ‘paling putih’ pernah dihasilkan, tetapi juga berpotensi besar dalam menangani perubahan iklim global.
Cat paling putih dalam sejarah
Saintis kejuruteraan mekanikal, Prof. Xiulin Ruan bersama pasukannya di Universiti Purdue mengambil masa lebih enam tahun untuk menjalankan kajian ke atas cat ini.
Hasilnya, mereka berjaya mencipta cat ultra putih yang diiktiraf oleh Guinness World Records pada tahun 2021 sebagai “cat paling putih di dunia”.
Kandungan utama cat ini ialah barium sulfat, sejenis sebatian yang juga digunakan dalam kertas, plastik dan linoleum untuk memberikan warna putih cerah.
Keistimewaannya terletak pada saiz partikel barium sulfat yang berbeza-beza, membolehkan cahaya matahari dipantulkan dalam spektrum yang lebih luas.
Dengan kepekatan tinggi barium sulfat dan keupayaan menyebar cahaya dengan lebih efisien, cat ini mampu memantulkan sehingga 98.1 peratus cahaya matahari. Ia jauh lebih tinggi berbanding cat putih biasa yang hanya sekitar 80 hingga 90 peratus.
Ini menjadikan permukaan yang disaluti cat ini lebih sejuk daripada suhu persekitaran, dan berupaya mengurangkan keperluan penghawa dingin secara ketara.
Menurut Prof. Ruan, jika cat ini digunakan pada bumbung seluas kira-kira 93 meter persegi (1,000 kaki persegi), ia dapat memberikan kuasa penyejukan sehingga 10 kilowatt.
Ia lebih kuat daripada kebanyakan unit penghawa dingin pusat yang digunakan di rumah-rumah.
Ini bermakna, dengan hanya menyapu cat ini pada permukaan bangunan, kita boleh menyejukkan ruang tanpa menggunakan tenaga elektrik. Secara tidak langsung, ini sekali gus mengurangkan bil elektrik dan pelepasan karbon.
Lebih menarik, cat ini bukan sahaja berkesan pada musim panas. Kajian mendapati ia masih dapat mengurangkan suhu permukaan lebih 4.5°C berbanding suhu sekeliling, walaupun pada musim sejuk.
Versi 2.0: Lebih nipis, lebih ringan, lebih luas penggunaan
Tidak terhenti di situ, pasukan penyelidik yang sama telah menghasilkan versi baharu iaitu Cat Paling Putih 2.0.
Jika versi asal memerlukan ketebalan 0.4mm (sesuai untuk bumbung bangunan), versi 2.0 hanya memerlukan ketebalan 0.15mm, menjadikannya 80 peratus lebih ringan.
Ini dicapai dengan menggantikan barium sulfat kepada boron nitrid heksagon, bahan yang biasanya digunakan dalam pelincir dan mempunyai keupayaan penyebaran cahaya yang luar biasa.
Cat 2.0 dijangka komersial dalam tempoh dua hingga tiga tahun, dan sangat sesuai untuk permukaan yang memerlukan lapisan ringan seperti kereta, kapal terbang dan tren.
Apabila disembur pada permukaan luar kenderaan, suhu dapat dikurangkan sehingga 5.6°C, membantu menjimatkan tenaga ketika menyejukkan kabin semasa cuaca panas.
Cabaran
Walaupun ciptaan ini kelihatan seperti penyelesaian pintar untuk krisis iklim, ada beberapa cabaran yang perlu diambil kira.
Cat ini berasaskan barium sulfat yang diperoleh daripada batu barit — proses perlombongan bahan ini menggunakan tenaga tinggi dan menyumbang kepada pelepasan karbon.
Selain itu, pantulan sinaran UV boleh bertindak balas dengan pencemar udara seperti nitrogen oksida dan menjejaskan kualiti udara.
Namun begitu, Prof. Ruan dan pasukannya tetap optimis.
Mereka percaya dengan lebih banyak ujian dan penambahbaikan, termasuk mengurangkan kandungan sebatian organik meruap (VOC), cat ini boleh diperhalusi untuk kegunaan harian.
Ini termasuk dalam tekstil, elektronik mudah alih, malah pakaian.
BACA: Saintis Laut Dalam Dakwa Temui ‘SpongeBob dan Patrick’ Dunia Sebenar
BACA: Bising Tiap Bulan Duit Tak Cukup, 5 Punca Gaji Selalu Habis Sebelum Waktunya
BACA: Festival Bunga Calla Lily & Hydrangea Tasik Buluh 2025: Destinasi Floral Terbaik untuk Kaki Foto!
Sumber: G.SB Paint Tools Co., Ltd., PRINT Magazine