Anwar Kongsi Momen Bersama Pak Lah
“Sosok Pak Lah pasti meninggalkan bekas yang mendalam kepada rakyat dan negara.”
Demikian luahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengenang pemergian mantan Perdana Menteri kelima Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Anwar menyifatkan pemergian figura yang lebih dikenali sebagai Pak Lah itu sebagai satu kehilangan besar buat negara.
“Berehatlah, Pak Lah. Malaysia ternyata terhutang budi atas jasa sang negarawan yang membumi,” tulis beliau menerusi hantaran di Instagram.
Dalam hantaran tersebut, Anwar turut berkongsi sebuah video pendek yang memaparkan momen-momen kenangan beliau bersama Allahyarham.
https://www.instagram.com/reel/DIdwLEnTWcL/?igsh=aG1wYmdyang5MnNs&fbclid=IwY2xjawJrU7lleHRuA2FlbQIxMAABHrH6jq_CeIyIM5ixZVKP_fz5munT8VWgK-OHhXQMNceeTcBTj-cEZPneDVxj_aem_HK33_EfeNfEY_-IyawQj4w
Dalam pada itu, perkongsian Anwar mendapat perhatian ramai, termasuk menantu Allahyarham, Khairy Jamaluddin.
“Terima kasih, tuan, atas beberapa nukilan ikhlas yang dikarya mengingati sahabat lama. Kami sekeluarga amat tersentuh dengan kemuliaan kata Dato’ Seri terhadap ayahanda Pak Lah.
“Penghargaan jua kepada Dato’ Seri dan kerajaan kerana memberi penghormatan kepada Pak Lah dengan mengizinkan satu istiadat pengkebumian yang teristimewa dan kebenaran untuk jenazahnya disemadikan di makam pahlawan bersama negarawan-negarawan yang lain.
“Saya akan sentiasa berterima kasih atas perkara ini, tuan,” katanya di ruangan komen hantaran tersebut.
Hari ini, Anwar turut hadir bersama ratusan rakyat Malaysia memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Negara.
Tun Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam tadi.
Menurut kenyataan IJN, Allahyarham dimasukkan ke hospital pada pagi Ahad setelah mengalami kesukaran bernafas.
BACA: Tun Abdullah Ahmad Badawi Meninggal Dunia
BACA: “Pak Lah pergi dalam keadaan tenang…” – Khairy Jamaluddin
BACA: PM Anwar Beri Penghormatan Terakhir Kepada Tun Abdullah Di Masjid Negara
Sumber: IG Anwar Ibrahim