Siakap Keli
Gambar: Bernama & Astro AWANI

Digelar “Mr. Nice Guy”, Kenali Tun Abdullah Ahmad Badawi

Digelar “Mr. Nice Guy”, Kenali Tun Abdullah Ahmad Badawi

Semalam negara digemparkan pemergian tokoh negarawan negara, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada usia 85 tahun.

Allahyarham dilapor menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 malam tadi.

Difahamkan, jenazah akan dibawa ke Masjid Negara pada 8 pagi ini dan akan disembahyangkan selepas solat Zuhur sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, mari mengenang kembali perjalanan hidup Tun Abdullah di bawah.

Biodata Tun Abdullah Ahmad Badawi

Gambar: Astro AWANI

Dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang, Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan anak sulung daripada empat beradik.

Beliau lahir dalam keturunan keluarga ulama terkenal di Pulau Pinang, dimana bapanya, Haji Ahmad Bin Haji Abdullah Fahim atau lebih dikenali sebagai Ahmad Badawi dan Datuk Khailan Binti Haji Hassan (ibu) dikenali ramai.

Pendidikan Tun Abdullah Ahmad Badawi

Allahyarham mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam, Kepala Batas (1947-1950) hingga darjah empat.

Kemudian, beliau berpindah ke Special Malay School iaitu sebuah sekolah yang ditubuhkan oleh Kerajaan British untuk pelajar melayu cemerlang di peringkat sekolah rendah.

Diperingkat Menengah, beliau meneruskan persekolahannya di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan melanjutkan pengajian ke peringkat Tingkatan Enam di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang.

Semasa di Tingkatan Lima, Tun Abdullah telah dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Pulau Pinang dan Seberang Prai (PPMPPSP).

Gambar: Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi

Kecemerlangan beliau diteruskan apabila memasuki alam pengajian tinggi di Universiti Malaya dalam Sarjana Muda Sastera (bidang Pengajian Islam).

Tun Abdullah merupakan seorang yang aktif dalam menyuarakan mengenai isu-isu pendidikan orang Melayu ketika bergelar mahasiswa.

Tidak hairan, beliau telah dilantik sebagai Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 1962 dengan kewibaan yang ditonjolkannya.

Keluarga

Selepas menamatkan pengajian pada tahun 1964, Tun Abddullah telah bertemu jodoh Allahyarhamah Tun Endon Mahmood (24 Disember 1940 – 20 Oktober 2005).

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua orang anak iaitu Kamaluddin dan Nori.

Bagaimanapun, 20 Oktober 2005, Datin Seri Endon telah kembali ke rahmatullah akibat kanser payudara.

Selepas dua tahun pemergian Datin Seri Endon,  Tun Abdullah mengahwini Datin Seri Jeanne Abdullah pada 9 Jun 2007.

Kerjaya

Sebelum mula berkecimpung dalam dunia politik, Tun Abdullah pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan dan Diplomatik (PTD) dan telah menjadi Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1964.

Politik 

Gambar: Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi

Tun Abdullah mula terlibat secara aktif dalam arena politik tanah air selepas kematian bapanya pada 8 Mei 1977.  Beliau telah bertanding dalam pilihan raya bagi kawasan Parlimen Kepala Batas pada 1978 dan menang dalam merebut kerusi kawasan itu.

Kerusi Parlimen Kepala Batas berjaya dipertahankannya dari tahun 1978 sehingga tahun 2013.

Selain itu, Tun Abdullah bergelar ahli Majlis Tertinggi UMNO semenjak 1981 dan telah dipilih memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1984, 1987, 1990 dan 1996.

Pada Perhimpunan Agung UMNO Tahun 2000, Tun Abdullah telah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 hingga 2003.

Tanggal 31 Oktober 2003 menjadi detik bersejarah apabila Tun Abdullah telah dilantik menjadi Perdana Menteri kelima negara.

Upacara mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri diadakan di Istana Negara dengan disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail melalui penyerahan kuasa.

Sewaktu era kepimpinannya, konsep Islam Hadhari sentiasa menjadi benteng dan corak pemerintahannya dalam pembangunan Islam dan umat tanpa ada perpecahan di kalangan mereka.

Keseimbangan yang ditekankannya adalah supaya orang Melayu tidak leka dalam mengejar arus kemodenan hingga nilai keagamaan dan kepercayaan perlu dipinggirkan.

Selain itu, Tun Abdullah juga tidak lupa dalam memastikan hak semua warga negara ini terpelihara.

“Jangan bekerja untuk saya, tetapi mari bekerja bersama-sama saya,” antara kata-kata keramatnya sewaktu bergelar Perdana Menteri.

Beliau juga menegaskan bahawa bertekad untuk memerangi gejala rasuah dan menjauhi rasuah.

Selepas enam tahun menerajui pentadbiran negara, beliau mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden parti, dan seterusnya menarik diri daripada menjadi Perdana Menteri pada Mac 2009 ketika Perhimpunan Agung UMNO.

Sejak daripada itu, Tun Abdullah tidak melibatkan diri dalam bidang politik.

Sumber: UMNO, Pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.