Para Pemimpin Bersalaman Sewaktu Istiadat Pengebumian Negara
KUALA LUMPUR — Dalam satu klip video memaparkan momen para pemimpin saling bersalaman antara satu sama lain ketika menghadiri Istiadat Pengebumian Negara Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara di sini hari ini.
Video berdurasi 21 saat itu menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali saling berjabat tangan.
https://x.com/501Awani/status/1912032416728006978
Sebelum ini, Perdana Menteri hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara.
Anwar tiba di dewan solat utama Masjid Negara kira-kira 1 tengah hari, diiringi beberapa jemaah menteri.
Antara menteri yang mengiringi beliau ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Digital Gobind Singh Deo, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Perdana Menteri turut meluangkan masa beberapa minit untuk bertemu ahli keluarga Allahyarham.
Isteri Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah, anak perempuannya, Nori Abdullah bersama suami Khairy Jamaluddin, antara ahli keluarga yang berada di sisi jenazah Allahyarham sepanjang upacara penghormatan terakhir itu berlangsung.
Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi dan IJN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa negarawan itu dimasukkan ke hospital pagi Ahad selepas mengalami kesukaran bernafas.
Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 2.30 petang tadi.
Ribuan dilihat hadir di masjid tersebut untuk menunaikan solat jenazah dan mengiringi Allahyarham Tun Abdullah ke tempat persemadian.
Sumber: Astro AWANI