Siakap Keli
MoU Malaysia China
Gambar: BERNAMA

Dua MoU Kukuh Kerjasama Malaysia-China Dalam Teknologi Baharu Dan Satelit

Dua MOU Kukuh Kerjasama Malaysia-China Dalam Teknologi Baharu Dan Satelit

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) — Malaysia dan China hari ini memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) penting bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu muncul dan sistem navigasi satelit sempena lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia yang bermula semalam.

MoU pertama melibatkan Sokongan Bersama Penubuhan Makmal Bersama dalam Bidang Teknologi Baharu Muncul, ditandatangani oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing, disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Xi.

Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), MoU berkenaan bertujuan menyokong institusi penyelidikan, institusi pengajian tinggi dan perusahaan dalam usaha menubuhkan makmal bersama bagi mempertingkatkan kerjasama teknologi berimpak tinggi.

Makmal tersebut akan memfokuskan kepada bidang seperti kecerdasan buatan, rantaian blok, bioteknologi, teknologi bahan termaju, tenaga boleh diperbaharui serta teknologi baharu muncul lain yang dikenal pasti bersama.

“Pemeteraian MoU ini menandakan satu lonjakan strategik dalam usaha Malaysia memperkukuh ekosistem teknologi dan inovasi negara,” menurut kenyataan MOSTI hari ini.

BACA: Respon Mengejutkan Trump Berhubung Lawatan Rasmi Presiden China

MOSTI memaklumkan kerjasama dengan China akan membuka akses kepada kepakaran bertaraf dunia, mempercepat pemindahan teknologi dan memperkasa pembangunan makmal bersama dalam bidang berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan, bioteknologi dan tenaga boleh diperbaharui.

Inisiatif ini sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan dasar Kerajaan MADANI yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi, industri bernilai tinggi serta penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat.

MoU kedua pula membabitkan kerjasama antara MOSTI dan Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China (NDRC) dalam aplikasi Sistem Navigasi Satelit Global BeiDou (BDS).

MoU ini bertujuan memperkukuh kerjasama teknikal antara kedua-dua negara dalam penyelidikan, pembangunan serta penggunaan teknologi berasaskan BDS dan sistem Satelit Navigasi Global (GNSS) tempatan dalam sektor seperti pertanian, logistik, kewangan dan pembuatan.

“Kerjasama ini akan membuka peluang kepada institusi penyelidikan, universiti serta pemain industri untuk membangunkan aplikasi pintar berasaskan data satelit, khususnya menggunakan sistem BDS yang kini merupakan antara sistem navigasi satelit global utama dunia,” menurut MOSTI.

Kerjasama strategik ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkasa ekosistem teknologi angkasa tempatan serta mempercepat pemindahan teknologi berimpak tinggi kepada Malaysia, seiring aspirasi negara ke arah masa depan digital.

MOSTI menjelaskan bahawa kedua-dua MoU ini melengkapi Perjanjian Kerjasama dalam Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang dimeterai pada 4 Okt 2013 serta MoU Program Pertukaran Kepakaran dalam Sains dan Teknologi yang ditandatangani pada 19 Jun 2024.

BACA: Rumah Putih Umum China Berdepan Tarif Hingga 245 Peratus Akibat Tindak Balas Dagang

Sumber: BERNAMA

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.