Sarjan Polis Maut Motosikal Langgar Lori Di Tapah
IPOH, 16 April (Bernama) — Seorang anggota polis berpangkat sarjan maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori di Kilometer 67, Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, dekat Tapah, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Johari Yahya berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 pagi ketika mangsa berusia 42 tahun dalam perjalanan ke pekan Tapah.
“Motosikal Honda RSX ditunggang mangsa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dipercayai melanggar sebuah lori Isuzu yang membawa muatan surat khabar, dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun.
“Siasatan awal mendapati lori berkenaan secara tiba-tiba keluar dari simpang Rumah Awam 3, menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum melanggar kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan.
Katanya mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat, manakala pemandu lori ditahan untuk siasatan lanjut.
“Pemandu akan dibawa ke mahkamah esok bagi permohonan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zulhafiz Zainuddin atau tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
BACA: Gunung Lewotobi Di Indonesia Meletus, Cetus Amaran Penerbangan
BACA: Orang Ramai Dijemput Ke Majlis Tahlil Tun Abdullah Di Masjid Negara – Khairy
BACA: Rumah Putih Umum China Berdepan Tarif Hingga 245 Peratus Akibat Tindak Balas Dagang
Sumber: BERNAMA