Siakap Keli
Gunung Lewotobi Meletus
Gambar: Detik News

Gunung Lewotobi Di Indonesia Meletus, Cetus Amaran Penerbangan

Gunung Lewotobi Di Indonesia Meletus, Cetus Amaran Penerbangan

JAKARTA, 16 April (Bernama-Xinhua) — Gunung Berapi Lewotobi yang terletak di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia, meletus pada Rabu sekali gus mencetuskan amaran penerbangan dan nasihat keselamatan, menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi, lapor Xinhua.

Letusan itu menghamburkan debu setinggi 3,500 meter ke udara, dengan kepulan awan tebal berwarna kelabu bergerak ke arah barat dan barat laut dari kawah gunung tersebut.

Bagi mengurangkan risiko yang dibawa oleh debu gunung berapi, satu Notis Balai Cerap Gunung Berapi untuk Penerbangan telah dikeluarkan pada tahap jingga, iaitu amaran kedua tertinggi, yang melarang pesawat terbang di bawah ketinggian 5,000 meter di kawasan sekitar Gunung Lewotobi.

Pesawat juga dinasihatkan supaya berhati-hati terhadap kehadiran abu gunung berapi yang boleh mengganggu penerbangan.

Untuk melindungi penduduk yang tinggal di lereng gunung daripada ancaman awan panas dan bahan piroklastik, pihak pusat telah mengeluarkan nasihat keselamatan. Penduduk, pelancong dan pengunjung dinasihatkan supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti dalam radius 6 kilometer dari gunung itu.

Komuniti yang tinggal berhampiran gunung berapi itu turut diingatkan akan kemungkinan berlaku aliran lahar yang boleh berlaku melalui sungai yang berpunca dari puncak gunung berapi apabila hujan lebat turun.

Penduduk di kawasan yang dijangka terdedah kepada taburan debu gunung berapi juga disarankan memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada bahaya kepada sistem pernafasan.

Gunung Lewotobi yang berketinggian 1,584 meter merupakan antara 127 gunung berapi aktif di Indonesia.

BACA: Orang Ramai Dijemput Ke Majlis Tahlil Tun Abdullah Di Masjid Negara – Khairy

BACA: Rumah Putih Umum China Berdepan Tarif Hingga 245 Peratus Akibat Tindak Balas Dagang

BACA: Isu Ilustrasi Jalur Gemilang Tanpa Bulan Sabit Di Muka Depan Akhbar Tempatan

Sumber: BERNAMA

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.