Isu Ilustrasi Jalur Gemilang Tanpa Bulan Sabit Di Muka Depan Akhbar Tempatan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius dan amat kesal terhadap tindakan sebuah akhbar tempatan yang telah menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap pada muka hadapan akhbar bertarikh 15 April 2025.
Menurut kenyataan media rasmi KDN, Jalur Gemilang yang diterbitkan tanpa simbol bulan sabit, lambang penting yang mewakili kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, adalah satu kecuaian serius dan tidak sewajarnya dilakukan.
Tindakan tersebut bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah berpotensi mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“KDN sudahpun memulakan tindakan siasatan serta-merta dengan berpandu kepada dua perundangan yang berkaitan iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301],” jelas KDN.
Jalur Gemilang, tegas KDN, bukan sekadar simbol, tetapi lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional negara ini yang wajib dihormati serta dimartabatkan oleh semua pihak.
“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414], boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang semasa yang berkuatkuasa.
“KDN tidak sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan apa-apa hasil penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam sepertimana yang diperuntukkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
“Tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap kedua-dua Akta yang berkuat kuasa akan dipertimbang sewajarnya selepas siasatan dilengkapkan,” jelas kenyataan tersebut.
Berhubung dengan insiden ini, KDN menjelaskan telah memanggil pihak akhbar terbabit pada hari ini bagi tujuan siasatan dan Surat Tunjuk Sebab juga telah diserahkan.
“Sebagai Kementerian yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, KDN tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat serta mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara,” tambah kenyataan itu.
BACA: Bendera Adalah Lambang Kedaulatan Negara, Tidak Boleh Dipersendakan – Agong
BACA: Lebuh Raya Dinamakan Sempena Tun Abdullah, Bendera Dikibar Separuh Tiang Jumaat Ini – Chow
BACA: Diplomasi Sebatang Pen: Bagaimana Pak Lah ‘Pulihkan’ Hubungan China Dan Jepun
Sumber: BERNAMA TV