Bendera Adalah Lambang Kedaulatan Negara, Tidak Boleh Dipersendakan – Agong
KUALA LUMPUR — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menegaskan bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi, Seri Paduka Baginda, bertitah bendera bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni, tetapi mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.
“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titah Seri Paduka Baginda pada hari ini.
Dalam masa yang sama, Seri Paduka Baginda, bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Sebelum ini, tular isu berkenaan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa simbol bulan sabit di muka depan sebuah akhbar harian.
https://www.facebook.com/officialsultanibrahim/posts/pfbid02DWhbQm7vZe7hvg38T6bS4szTQJaeAdAh47J9rZwyhhYBSWFy2VdC7tCyv4xPxRkgl
Sumber: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar