Guna “Aircond” Semalaman Boleh Jejas Kesihatan, Ini Penjelasan Doktor
Apabila tiba musim panas, ramai yang memilih untuk menghabiskan masa di rumah atau tempat yang berhawa dingin sahaja. Penggunaan penghawa dingin bukan sahaja membantu menyejukkan persekitaran, malah turut memberikan kelegaan daripada cuaca yang terik dan tidak selesa.
Faktor cuaca yang panas dan lembap sepanjang tahun mendorong ramai individu untuk bergantung kepada penghawa dingin bagi meningkatkan kualiti hidup.
Namun begitu, di sebalik keselesaan yang ditawarkan, terdapat kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kesan negatif penghawa dingin terhadap kesihatan manusia.
Penghawa dingin boleh mengundang penyakit
Menerusi perkongsian @dr.kennethwongcf di TikTok, doktor kesihatan ini menjelaskan kekerapan memasang pendingin hawa sehingga semalaman boleh mengundang risiko sesak nafas, batuk berpanjangan dan serangan asma.
Hal ini berlaku sekiranya individu menetapkan suhu yang terlalu rendah dan sejuk.
Menurut Dr Kenneth Wong, udara yang keluar daripada penghawa dingin adalah sangat sejuk. Ia sekaligus merangsang saluran pernafasan dan menyempitkannya, lalu menyebabkan sesak nafas serta nafas berbunyi.
“Udara ini bukan sahaja sejuk tetapi sangat kering. Udara kering boleh menyebabkan saluran pernafasan juga jadi kering dan menyukarkan lendir yang dihasilkan oleh asma keluar,” kata beliau.
Saluran udara penghawa dingin di dalam bilik boleh meningkatkan risiko serangan asma kerana alat teknologi tersebut memerangkap hama, habuk dan bulu haiwan peliharaan.
“Nak tidur pasang aircond boleh tetapi mesti kawal suhu dengan baik dan pastikan penapis penghawa dingin sentiasa dibersihkan kerana mereka yang ada asma paru-parunya lebih sensitif,” jelas beliau lagi.
Video berkenaan mendapat 309.6k tontonan setakat ini
Menjengah ke ruang komen, rata-rata warga maya berterima kasih dengan perkongsian yang dibuat oleh pengguna TikTok berkenaan. Dalam masa sama, terdapat segelintir penghidap asma turut bersetuju dengan perkongsian Dr Kenneth ini.
“Saya tidur aircond dekat hotel. Nasib sehari je sampai luka kerongkong saya. Jadi saya terjaga terus rasa takut nak tidur balik,” komen seorang wargamaya.
“Saya tidur malam selalu tetapkan suhu 23 atau 24 tapi selalu batuk, tekak gatal dan hidung tersumbat,” komen seorang lagi wargamaya.
BACA: Mekanik Dedah Cara Paling Mudah Periksa “Brake Pad” Kereta
@dr.kennethwongcf Tidur aircond! Sejuk dan Sesak Nafas Asma! #drkenneth #doktortiktok #fyp #sejukaircond #udarasejuk #udarakering #asthma
Sumber: @dr.kennethwongcf via TikTok