Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MYDIN, Tourism Malaysia Promosi Pelancongan Tempatan Menerusi "Jelajah Lokal Treasure Hunt"

Jelajah Lokal

SUBANG JAYA, 24 OKTOBER 2026: Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) melancarkan program “Jelajah Lokal Treasure Hunt” hari ini, dengan kerjasama Tourism Malaysia dan beberapa rakan strategik, bagi menggalakkan pelancongan domestik serta memperkenalkan destinasi menarik di seluruh negara.

Program itu dilancarkan menerusi acara flag-off di MYDIN Subang Jaya, sebelum peserta memulakan perjalanan ke MYDIN MITC, Melaka bagi pusingan pertama pertandingan berkenaan.

Jelajah Lokal Treasure Hunt berlangsung dalam tiga pusingan, membabitkan laluan MYDIN Subang Jaya ke MYDIN MITC, Melaka pada 24 Oktober; MYDIN Gopeng RTC ke MYDIN Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 31 Oktober; serta MYDIN Kuala Terengganu ke MYDIN Tunjong, Kelantan pada 7 November ini.

Jelajah Lokal

Setiap pusingan membabitkan 50 pasukan dengan empat peserta berusia 18 tahun ke atas bagi setiap pasukan, manakala jumlah keseluruhan hadiah yang ditawarkan ialah RM45,000.

Antara rakan strategik yang terlibat ialah Tourism Malaysia, Tabung Haji Travel and Services, Sunway Lagoon, Lost World Of Tambun, Setel, Atome dan Malaysia Hunt Club.

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin, berkata program itu bukan sahaja memberi peluang kepada peserta meneroka destinasi tempatan, malah turut menyokong usaha mempromosikan keunikan budaya, warisan dan tarikan pelancongan Malaysia.

“Melalui Jelajah Lokal Treasure Hunt, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia mengambil peluang untuk meneroka destinasi tempatan dan menghargai kepelbagaian tarikan yang terdapat di negara ini.

“Kerjasama dengan Tourism Malaysia dan rakan strategik juga penting bagi memperluas promosi pelancongan domestik serta mewujudkan pengalaman yang menarik kepada peserta,” katanya.

Dalam pada itu, program berkenaan turut disertai inisiatif tanggungjawab sosial korporat MYDIN Prihatin, dengan peruntukan RM15,000 bagi menyediakan 150 kotak makanan bernilai RM100 setiap satu untuk diagihkan kepada 150 keluarga golongan B40 di tiga kawasan terlibat.

Bagi pusingan pertama di Melaka, seramai 50 keluarga yang memerlukan akan dikenal pasti dengan kerjasama pihak berkaitan di kawasan Parlimen Hang Tuah. Sebanyak 50 keluarga masing-masing turut menerima manfaat bagi pusingan kedua di Bukit Mertajam dan pusingan ketiga di Kelantan.

Jelajah Lokal

Inisiatif itu mencerminkan komitmen MYDIN untuk menggabungkan usaha mempromosikan pelancongan domestik dengan tanggungjawab sosial, sekali gus memastikan program berkenaan turut memberi manfaat kepada komuniti setempat.