Lawatan Presiden China Simbolik, Lambang Ikatan Persahabatan Malaysia-China – PM Anwar
KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan Presiden Xi Jinping bersama delegasi China ke Malaysia sebagai simbolik dan lambang ikatan persahabatan sejati Malaysia-China yang telah terjalin sejak sekian lama.
“Di saat dunia menyaksikan perubahan landskap geopolitik dan beberapa pihak meninggalkan prinsip tanggungjawab kolektif, inisiatif global yang diketengahkan oleh China membuka ruang baharu untuk pembaharuan dan kerjasama.
“Saya ulangi rasa hormat dan penghargaan atas kepimpinan Presiden Xi yang lantang membicarakan soal prinsip perkongsian kemakmuran dan mengangkat nilai ketamadunan dan kemanusiaan sejagat,” tambahnya.
Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, menyifatkan Presiden Xi mempunyai prinsip dan pendirian berbeza dengan sikap segelintir negara yang mula meninggalkan prinsip perkongsian tanggungjawab, menghalakan keutamaan untuk mengasah perseteruan dan mempersenjatakan ekonomi.
“Dalam dunia yang kian mencabar, kita melihat China tampil sebagai rakan yang rasional, stabil dan berprinsip. Malaysia menghargai kestabilan ini dan akan terus menjadi sahabat, berpaksikan sejarah dan berwawasan masa depan.
“Pepatah Melayu menyebut, air dicincang tidak akan putus. Begitu juga ikatan antara Malaysia dan China yang diuji waktu, namun tetap bersemi dan tidak terlerai,” katanya lagi.
BACA: Arsenal Singkir Real Madrid Di Santiago Bernabeu
Beliau berharap hubungan dua hala dan persahabatan Malaysia-China akan terus mekar sedalam lautan, seteguh bintang di langit, dan segemilang harapan yang menyingsing kemakmuran masa depan.
Semalam, Anwar meraikan kunjungan Presiden Xi Jinping bersama delegasi China ke Seri Perdana dalam satu majlis makan malam.
Kali terakhir Presiden China mengadakan lawatan ke negara adalah pada 12 tahun lalu.
China tamatkan lawatan tiga hari di Malaysia
Dalam pada itu, Presiden China, Xi Jinping berlepas dari Malaysia ke Kemboja selepas menamatkan lawatan negara tiga hari atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.
Difahamkan, Xi yang tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengiringi beliau ke pesawat.
Pesawat Air China yang membawa Presiden Xi dan delegasi dilapor berlepas ke Phnom Penh pukul 10.04 pagi dari Kompleks Bunga Raya, KLIA.
https://www.facebook.com/anwaribrahimofficial/posts/pfbid02xw5vtHJpmTc5B9dUskS14UGJLCmC9yt3Yo4C1HJzrfKwDhF5Gyio84HceexoTC5al
Sumber: Facebook Anwar Ibrahim