Perkembangan Terkini Pusat Data Bawah Laut Pertama Di Dunia Milik China
China terus memperkukuhkan keupayaan teknologi maklumatnya apabila satu modul baharu berjaya diturunkan ke dasar laut di Lingshui, wilayah Hainan, bagi memperluas operasi pusat data bawah laut negara itu.
Menurut laporan China News Service, modul baharu sepanjang 18 meter itu disambungkan kepada pusat data bawah laut sedia ada yang telah dipasang pada Disember 2023.
Ia dikendalikan oleh HiCloud, sebuah cabang syarikat Highlander yang telah menjalankan ujian terhadap teknologi ini sejak tahun 2020.
Modul baharu ini dilaporkan mengandungi kira-kira 400 pelayan berprestasi tinggi dan akan dihubungkan ke pelanggan menerusi stesen pantai berhampiran.
Walaupun maklumat terperinci mengenai perkakasan yang digunakan tidak didedahkan oleh HiCloud, modul ini dikatakan mampu memproses sehingga 7,000 pertanyaan DeepSeek sesaat.
Menurut Data Center Dynamics, ia adalah satu tahap keupayaan yang sangat tinggi, sesuai untuk aplikasi pemprosesan intensif.
Lebih menarik, pusat data ini menggunakan air laut sebagai penyejuk semula jadi.
Ini menjadikannya lebih mesra alam berbanding pusat data konvensional yang memerlukan sistem penyejukan tenaga tinggi.
BACA: Pengulas Politik AS, Bill O’Reilly ‘Titip Pesan’ Buat Presiden China
Setakat ini, 10 syarikat telah menandatangani perjanjian untuk menggunakan kemudahan pusat data ini bagi pelbagai tujuan.
Ini termasuklah latihan dan inferens model kecerdasan buatan (AI), simulasi industri, pembangunan permainan digital dan penyelidikan sains marin.
HiCloud kini dilihat mendahului dalam inovasi pusat data bawah laut, menjadikannya pusat data komersial bawah laut pertama di dunia.
Walaupun beberapa syarikat lain pernah mencuba konsep serupa, termasuk gergasi teknologi Microsoft dengan projek Project Natick di Scotland pada 2018, projek tersebut akhirnya ditamatkan pada tahun lalu.
Sementara itu, dua syarikat permulaan, iaitu Subsea Cloud dan NetworkOcean, turut merancang membangunkan pusat data bawah laut mereka sendiri.
Namun begitu, NetworkOcean dilaporkan menghadapi masalah kelulusan permit untuk menjalankan ujian di Teluk San Francisco, Amerika Syarikat.
BACA: Lawatan Xi ke Vietnam Undang Reaksi Mengejutkan Trump
BACA: Kerajaan Indonesia ‘Buka Mulut’ Isu Jet Tempur Rusia Di Indonesia
Sumber: DCD