Kenaikan Gaji Bukan Jalan Penyelesaian Kos Sara Hidup – Tun M
KUALA LUMPUR — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kenaikan gaji bukanlah jalan penyelesaian kepada peningkatan dalam kuasa beli dan menyelesaikan isu kos sara hidup, lapor Astro AWANI.
Jelasnya, individu kerkemungkinan hanya akan membeli lebih sedikit daripada apa yang dibeli dengan gaji sebelumnya, selepas gaji dinaikkan.
Situasi ini akan menyumbang kepada peningkatkan semula kos sara hidup ekoran kenaikan gaji yang meningkatkan kos pengeluaran.
Bahkan, kos pengeluaran akan mendorong kepada kenaikan kos buruh dan lain-lain, yang akan mengurangkan kuasa beli gaji yang dinaikkan.
Mengulas lebih lanjut, beliau percaya bahawa kenaikan gaji juga boleh mendorong terhadap penyusutan mata wang jika Kerajaan cuba mengejar peningkatan kos (inflasi).
“Perlu diingatkan bahawa kuasa beli tidak banyak meningkat dengan kenaikan gaji. Malah kesan kenaikan gaji ke atas kos pengeluaran dan semua overhead akan menyebabkan kos sara hidup yang lebih tinggi kerana kos barangan dan perkhidmatan lebih tinggi berbanding kos sebelumnya,” katanya.
Sebelum ini, beberapa mata wang negara hampir gagal sepenuhnya susulan mengejar kenaikan kos sara hidup dengan meningkatkan pendapatan, telah menyebabkan kuasa beli mata wang semakin berkurangan.
“Tetapi sudah tentu, kejatuhan nilai mata wang bukan sahaja disebabkan peningkatan pendapatan bagi menampung kenaikan kos sara hidup.
“Ia juga berpunca daripada rasuah, pengeluaran wang kertas dan nota mata wang yang mempunyai nilai lebih tinggi, perdagangan mata wang dan jualan pendek serta banyak lagi faktor lain.
“Justeru, kerajaan perlu berhati-hati dengan permintaan dan gesaan pelbagai pihak yang mahukan gaji minima dinaikkan, bagi mengelakkan ringgit menerima nasib yang sama dengan Rupiah dan lira,” maklumnya lagi.
Sumber: Astro AWANI