Keilataan Pencarum Semakin Meningkat, Purata 80 Individu Hidap NCD Sehari
PUTRAJAYA- Peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) membabitkan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) semakin membimbangkan, dengan purata 80 individu sehari dikenal pasti menghidap pelbagai masalah kesihatan, tahun lalu.
Berdasarkan perangkaan, jumlah pencarum yang mengalami keilatan angkara NCD meningkat 26.5 peratus dalam tempoh hanya dua tahun sejak 2022, sekali gus dikhuatiri berupaya merencatkan kelangsungan produktiviti tenaga kerja.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata penilaian menerusi laporan terkini Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2021 mendedahkan bahawa Malaysia berdepan kerugian mencecah RM64.2 bilion setahun atau bersamaan 4.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disebabkan NCD.
Katanya, kerugian yang dinilai menerusi peruntukan kos rawatan perubatan dan penjagaan kesihatan, selain kehilangan produktiviti pekerja sebenarnya berupaya ditangani menerusi pemakanan serta amalan gaya hidup sihat.
“Atas dasar ini, PERKESO melaksanakan Program Saringan Kesihatan (HSP) sejak 2013 yang setakat ini sudah membabitkan lebih 900,000 individu kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
“Jika dilihat kepada data HSP 3.0 pada 2023 dan 2024, saringan terhadap 270,000 pekerja berusia 40 tahun ke atas mendapati 19.4 peratus daripadanya menghidap penyakit kencing manis.
“Selain itu, 19.6 peratus menghidap penyakit darah tinggi, manakala 59.7 peratus lagi dikesan mempunyai kolesterol berlebihan dalam darah dan 160,100 orang (59.3 peratus) mengalami masalah obesiti atau kegemukan,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa program PERKESO Run & Ride 2025, di Dataran Wawasan, di sini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof.
Turut hadir adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, Sutekno Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) KESUMA, Dr. Mohd Shaharin Umar, Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato’ Sri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.
PERKESO Run & Ride memasuki edisi penganjuran kali kelapan tahun ini melakar sejarah apabila berjaya menghimpunkan 10,000 peserta yang menyertai acara larian sejauh 3, 6 dan 10 kilometer serta kayuhan santai sejauh 35 kilometer.
Program pada tahun ini diadakan sempena Hari Pekerja 2025 dan merupakan pembuka tirai kepada Karnival Kerjaya MYFutureJobs @ Hari Pekerja 2025 yang akan diadakan pada 28 April hingga 1 Mei ini di Pekarangan Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Secara perbandingan, edisi penganjuran PERKESO Run & Ride pada 2023 membabitkan 7,000 peserta, sekali gus menyaksikan peningkatan penyertaan sebanyak 30 peratus. Selain itu, pelbagai hadiah cabutan bertuah menanti pemenang termasuk hadiah utama berupa kereta PERODUA Bezza.
Mengulas lanjut, Steven Sim berkata data PERKESO selari laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang mendapati hampir 2.3 juta dewasa di Malaysia menghidap tiga jenis NCD lazim.
“Penyakit-penyakit ini antara lain membawa kepada masalah ‘tiga serangkai’ atau gabungan diabetes (kencing manis), tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti.
“Berdasarkan angka-angka ini, kita perlu sedar mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat kerana NCD memang berkait rapat dengan cara kita menjalani kehidupan.
“Peningkatan kesedaran terhadap perkara ini penting kerana pekerja merupakan aset penting yang menggerakkan ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.
Sehubungan itu, Steven Sim berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited dalam usaha mempromosikan kesihatan dalam kalangan pekerja melalui penganjuran pelbagai program, termasuk HSP dan PERKESO Run and Ride 2025.
Bahkan, katanya, PERKESO melaksanakan Kempen Tolak Gula sejak Mac tahun lalu, melibatkan anggotanya di seluruh negara, selain diperluas ke seluruh rakyat Malaysia.
“Pendekatan ini adalah sebahagian usaha memupuk kesedaran penjagaan kesihatan dalam kalangan pekerja dan masyarakat umum kerana kita tidak boleh memandang enteng risiko NCD.
“Usaha ini juga selari aspirasi 3K, terutama yang menyentuh mengenai keberhasilan dan kebajikan pekerja untuk jangka panjang,” katanya.