SPRM Buka Semula Kertas Siasatan Isu Ceroboh Hutan Raub – Azam Baki
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka semula kertas siasatan berhubung isu pencerobohan hutan simpan di Raub, Pahang, lapor Astro Awani.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya pernah menyiasat kes ceroboh tanah berkenaan pada 2021, namun kini disambung semula dengan tumpuan khusus terhadap beberapa aspek.
Difahamkan, perkara ini termasuk tatakelola dan unsur rasuah yang didakwa wujud melibatkan penerokaan haram yang masih berlaku sehingga kini.
“Saya juga ditanya berhubung adakah SPRM membuka kertas siasatan berhubung dengan isu di Raub. Jawapannya, ya.
“Dulu kita pernah membuka kertas siasatan yang seumpamanya pada 2021, jadi kesinambungan daripada itu, berhubung dengan isu baharu ini saya telah mengarahkan SPRM Pahang untuk meneruskan siasatan dan kita juga melihat dua perkara, satu isu rasuah, bagaimana penerokaan haram itu boleh dilakukan dalam tempoh tempoh tertentu.
“Yang kedua isu berhubung dengan tatakelola yang diamalkan di pejabat pejabat tanah dan pejabat tanah galian. Jadi ini siasatan menyeluruh akan dijalankan oleh SPRM Pahang dalam hal ini,” ujar beliau.
MCW dakwa pencerobohan berpunca daripada beberapa perkara
Menurut Astro Awani, penjelasan itu diberikan selepas beliau menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Ke-11 Tahun 2025 yang berlangsung di World Trade Centre (WTC), hari ini.
Penerokaan tanah haram di Raub kembali mendapat perhatian baru-baru ini susulan laporan media dan aduan penduduk tempatan yang mendakwa berlakunya kegiatan pencerobohan dan pembalakan tanpa lesen di kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan.
Astro Awani melaporkan badan bukan kerajaan (NGO) memerangi rasuah, Malaysia Corruption Watch (MCW) mendakwa pencerobohan besar-besaran hutan simpan di Pahang berpunca daripada beberapa perkara.
Antaranya ialah kelalaian sistematik, pengabaian tanggungjawab ataupun perlindungan terancang oleh individu dalam pihak berkuasa.
Presidennya, Jais Abdul Karim, berkata MCW menggesa SPRM membuka semula atau memperluaskan kertas siasatan terhadap pelbagai pihak.
Ini termasuk pegawai kerajaan negeri, wakil rakyat, agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan yang disyaki bersekongkol, melindungi atau membenarkan penerokaan haram berlaku dalam tempoh panjang.
BACA: AS Kenakan Duti Import Baharu Terhadap Panel Solar Dari Asia Tenggara
Sumber: Astro Awani