Wujud Sejak Abad Ke-19, Ini Sejarah Disebalik Perkataan “OK”
Seiring dengan peredaran zaman, penggunaan perkataan yang disingkat atau singkatan semakin meluas dalam komunikasi harian.
Perkataan seperti “VIP”, “SMS”, “TV” dan sebagainya telah menjadi sebahagian daripada bahasa pertuturan dan penulisan masyarakat, termasuk dalam Bahasa Melayu.
Dalam pada itu, penggunaan singkatan ini mencerminkan cara bahasa berkembang untuk menyesuaikan diri dengan keperluan komunikasi yang lebih pantas dan ringkas.
“OK”, sebagai contoh, merupakan singkatan yang berasal dari bahasa Inggeris dan kini digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai tanda persetujuan atau pemahaman sejak dulu lagi.
Jadi, bagaimana singkatan ini tersebar dan bertahan sebagai satu istilah universal hingga ke hari ini?
Asal usul perkataan “OK”
Menurut History, istilah “OK” telah diperkenalkan buat pertama kali dalam akhbar “Boston Morning Post” untuk memberi maksud all correct (Oll Korrect) pada 23 Mac 1839.
Ia merupakan ejaan slanga yang popular pada waktu itu bagi ayat “all correct”, malah istilah ini kemudiannya mula digunakan secara meluas dalam pertuturan harian rakyat Amerika.
Pada akhir 1830-an, ringkasan perkataan menjadi amalan popular di kalangan golongan muda, di mana mereka sengaja mengeja perkataan dengan salah dan kemudian memendekkanya. Difahamkan, mereka turut menggunakan perkataan tersebut sebagai slanga dalam perbualan sesama mereka.
Beberapa singkatan turut menjadi popular termasuk “KY” untuk “No use” (“know yuse”), “KG” untuk “No go” (“Know go”), dan “OW” untuk “all right” (“oll wright”).
Antara semua singkatan yang digunakan pada masa itu, “OK” digunakan secara meluas apabila ia dicetak di dalam akhbar sebagai sebahagian daripada jenaka.
Dalam pada itu, singkatan ini semakin mendapat perhatian apabila digunakan oleh sebuah organisasi politik yang diketuai bekas Presiden Amerika Syarikat, Martin Van Buren.
Ahli dalam organisasi tersebut menggelar pertubuhan tersebut dengan ‘OK Club’. Dipercayai gelaran berkenaan diambil sempena nama tempat kelahiran ketua mereka di Old Kinderhook, New York.
Menurut The History, individu yang berjaya mengungkap misteri di sebalik “OK” ialah seorang ahli bahasa Amerika iaitu Allen Walker Read. Sebagai seorang profesor Bahasa Inggeris di Universiti Columbia, beliau telah menolak pelbagai dakwaan yang salah mengenai asal-usul “OK”.
Difahamkan, ia termasuk nama biskut tentera yang popular (Orrin Kendall), nama pelabuhan Haiti yang terkenal dengan rum (Aux Cayes) dan tanda tangan milik ketua Choctaw bernama Old Keokuk.
BACA: Hajat Tercapai, Dua Sahabat Warga Emas Sebak Bertemu Semula
Sumber: History