Beban Denggi Wanita, Tidak Semudah yang Disangka
Dr Hon Mun Cheng, pakar perunding pediatrik, dan pesakit denggi Hawiah Azit berkongsi
pandangan mengenai denggi dan kesan teruknya terhadap wanita, sempena Hari Kesihatan Sedunia 2025 yang disambut bulan ini, dengan matlamat mengutamakan kesihatan jangka panjang dan kesejahteraan wanita.
“Saya alami pendarahan berterusan. Apabila minum, saya boleh nampak darah dalam botol, bahkan air liur pun terasa darah,” kata Hawiah mengimbau pengalaman menghidap denggi teruk yang masih terpahat di ingatan”
Demam denggi terus menjadi masalah kesihatan awam yang utama di Malaysia, dengan ribuan kes dilaporkan setiap tahun. Pada 2024 sahaja, sebanyak 122,423 kes dengan 117 kematian dicatatkan, yang meneruskan trend peningkatan kematian sejak 2021. [1] [2] [3] Iklim tropika dan kepesatan pembandaran di negara kita mewujudkan persekitaran yang ideal untuk membiakan nyamuk, sekali gus menyumbang kepada penularan berterusan denggi dan menimbulkan risiko jangkitan yang tidak berkesudahan.
Walaupun denggi boleh menyerang lelaki dan wanita, namun penemuan terkini menunjukkan wanita mungkin lebih terkesan dek penyakit ini – bukan sahaja secara fizikal, tetapi juga dari segi sosial dan ekonomi.
Kesan Denggi terhadap Wanita
Denggi mungkin tidak mendiskriminasi, tetapi kesannya terhadap wanita boleh menjadi parah disebabkan faktor fisiologi, sosial dan ekonomi.
“Wanita lebih berkemungkinan mengalami denggi yang teruk dan demam denggi berdarah [4] disebabkan oleh faktor fisiologi [5] – sistem imun kita cenderung untuk membentuk tindak balas yang lebih kuat terhadap virus, menyebabkan berlakunya beban virus yang lebih tinggi dan peningkatan keradangan,” jelas Dr Hon Mun Cheng, pakar perunding paediatrik. “Selain itu, isipadu darah wanita umumnya lebih rendah [6] , menjadikan mereka lebih terdedah kepada renjatan hipovolemia, iaitu komplikasi berbahaya denggi yang teruk.”
Dr Hon turut menekankan peranan kebocoran kapilari dalam tahap keparahan denggi di kalangan wanita. Oleh kerana salur darah wanita secara semulajadi membenarkan lebih banyak cecair melepasi dindingnya, maka mereka lebih mudah mengalami lebam dan pendarahan dalaman. Keadaan ini amat membimbangkan khususnya pada wanita yang diserang demam denggi teruk ketika haid, kerana mereka berisiko mengalami pendarahan berlebihan [7] , di samping gejala lain seperti sakit perut, muntah berterusan, pendarahan mukosa contohnya gusi dan hidung berdarah, dan kebocoran plasma [8].
Faktor-faktor ini ternyata meningkatkan risiko komplikasi yang teruk, memerlukan pemantauan perubatan yang rapi, terutamanya di kalangan wanita dengan kiraan platelet yang rendah atau mengalami anemia – keadaan yang lebih lazim berlaku pada wanita berbanding lelaki.
Dr Hon menjelaskan bahawa wanita hamil berhadapan dengan risiko yang jauh lebih besar jika dijangkiti denggi, yang boleh membawa kesan serius kepada ibu dan anak. Beliau menyatakan denggi semasa kehamilan boleh menyebabkan bayi mempunyai berat lahir yang rendah, kelahiran pramatang, kelahiran mati, dan peningkatan risiko kematian ibu. Malah, virus denggi boleh berjangkit kepada bayi dalam rahim, yang berpotensi mengakibatkan denggi teruk dengan gejala pendarahan pada bayi. [9] [10] [11]
Kesan Sosial dan Emosi pada Wanita
Selain risiko fisiologi [12], wanita juga sering menanggung beban sosial dan emosi yang lebih berat apabila membabitkan soal demam denggi. Sebagai penjaga utama dalam kebanyakan rumah tangga, wanita bertanggungjawab menjaga anak-anak, ibu bapa yang sudah tua, dan ahli keluarga yang sakit. Bagaimanapun, apabila mereka sendiri jatuh sakit, sokongan yang diterima agak terhad atau terpaksa meremehkan gejala yang dialami demi meneruskan tanggungjawab menjaga keluarga.
“Melengahkan rawatan boleh membawa kesan besar kepada diri sendiri kerana denggi merebak dengan pantas, dan tanpa rawatan yang tepat pada waktunya, komplikasi denggi boleh mengancam nyawa,” kata Dr Hon.
Keadaan akan semakin lebih teruk jika akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dihadkan oleh kekangan kewangan, kekurangan kemudahan penjagaan anak, dan faktor sosioekonomi lain. Wanita dari kelompok berpendapatan rendah mungkin tidak mempunyai cara untuk mendapatkan rawatan manakala mereka yang mempunyai pekerjaaan tidak formal pula berdepan dengan masalah kewangan jika tidak dapat bekerja. Ini boleh menyebabkan wanita menangguhkan rawatan perubatan, sebaliknya memilih untuk mengutamakan keluarga daripada kesihatan mereka sendiri.
Faktor yang saling berkait ini mewujudkan satu kitaran di mana wanita menjadi lebih terdedah kepada kesan denggi yang serius hanya kerana mereka mengalami kesukaran untuk mengutamakan kesihatan sendiri.
Kisah Pejuang: Kesengsaraan Akibat Denggi yang Teruk
Bagi Hawiah Azit, seorang ibu berusia 45 tahun, perjuangan melawan denggi yang teruk adalah antara pengalaman dahsyat dalam hidupnya.
“Ia bermula dengan demam biasa diikuti sakit kepala yang teruk selama beberapa hari. Ibu dan bapa membawa saya ke klinik keluarga berhampiran rumah dan saya hanya diberikan parasetamol, tanpa sebarang ujian susulan. Lepas dapat ubat, kami pun balik ke rumah,” katanya mengimbas kisah lalu.
“Pada usia 22 tahun, tidak banyak yang saya tahu mengenai denggi, jadi saya cuma ambil parasetamol, minum banyak air dan berdoa supaya demam cepat kebah.”
Walaupun berasa tidak sihat, dia tetap balik ke kampung untuk memenuhi jemputan perkahwinan, di mana keadaannya bertambah teruk. Dia kemudiannya didiagnos menghidap denggi di sebuah hospital berhampiran.
“Pada waktu itu, hidung dan gusi saya sudah berdarah, dan saya rebah dalam bilik air. Apabila mereka memindahkan saya ke Hospital Raja Perempuan Bainun di Ipoh, keadaan saya sangat lemah, tidak mampu naik sendiri ke katil. Tahap platelet darah saya terus menurun. Kepala rasa sangat sakit dan badan pula menggigil teruk, sehingga saya terfikir yang saya akan mati.”
Hari-hari berikutnya juga menyeksakan. “Saya alami pendarahan berterusan. Apabila minum, saya boleh nampak darah dalam botol dan air liur pun terasa darah. Selepas dua minggu, saya rasa sangattidak bermaya – lesu fizikal dan emosi.”
Selepas keluar dari hospital pun, dia mengambil masa yang lama untuk memulihkan kembali kekuatan badan dan selera makan. “Dulu saya selalu bermain bola tampar dan bersenam pada hujung minggu tetapi serangan denggi yang teruk mengubah segalanya. Saya tidak lalu makan, dan berminggu-minggu terasa lesu.”
“Kini, sebagai ibu dan isteri, saya sentiasa bimbangkan keluarga saya. Saya mempunyai anak perempuan berusia 15 tahun dan suami pula adalah orang yang berisiko tinggi dengan penyakit komorbid, apatah lagi sudah dua kali dia menghidap denggi,” kata Hawiah.
“Ketika muda dahulu, banyak yang saya tidak tahu. Tetapi kini berbeza. Saya sedar betapa pentingnya penjaga utama keluarga diperkasakan dengan ilmu pengetahuan. Pengalaman lalu membuatkan saya sentiasa berwaspada tentang pencegahan denggi – jadi apabila mengetahui tentang vaksinasi, saya pastikan keluarga saya divaksin.”
Memperkasakan Wanita Melawan Denggi
Memandangkan wanita menanggung beban yang lebih berat, maka sangat perlu untuk melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan dan pelbagai sumber bagi membolehkan wanita melindungi diri sendiri dan keluarganya.
Dr Hon menegaskan kepentingan pendidikan dalam mengenali gejala awal denggi. “Wanita perlu diperkasakan dengan maklumat yang betul supaya mereka boleh memahami risiko dan mengambil tindakan awal. Jika anda mengalami demam yang berterusan, sakit badan yang teruk, ada gejala pendarahan, atau kelesuan berpanjangan, sila dapatkan rawatan perubatan dengan segera.”
Penting juga memastikan wanita mempunyai sokongan yang diperlukan untuk mengakses penjagaan kesihatan. Menyokong mereka yang terkesan dek denggi adalah tanggungjawab kolektif yang boleh dicapai melalui kerjasama antara jiran tetangga dan anggota masyarakat yang lain. Sama ada ia berbentuk bantuan kewangan, sokongan penjagaan anak, atau kefleksibelan di tempat kerja, menghapuskan halangan terhadap penjagaan perubatan boleh meningkatkan hasil rawatan bagi wanita yang terkesan dek denggi.
Melangkah Ke Hadapan sebagai Satu Komuniti
Walaupun wanita sering menerajui usaha pencegahan denggi di rumah, namun mengekalkan kesihatan adalah tanggungjawab bersama – satu tanggungjawab yang melibatkan seluruh keluarga, komuniti, dan setiap rakyat Malaysia untuk memberikan impak yang berkesan.
Usaha yang berteraskan atau digerakkan oleh komuniti tetap penting, seperti menjaga kebersihan kawasan perumahan dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, di samping langkah peribadi contohnya dengan memakai baju dan seluar panjang, dan menggunakan alat penghindar serangga untuk mengelakkan gigitan nyamuk. Bahkan, Dr Hon turut mengesyorkan pesakit mendapatkan nasihat doktor mengenai vaksinasi, dan menjadikan langkah ini sebagai sebahagian daripada pendekatan bersepadu mencegah denggi.
Pakar mengatakan bahawa meningkatkan pengambilan vaksin dalam komuniti boleh membantu mengurangkan kes denggi yang teruk dan kemasukan ke hospital, meringankan tekanan pada keluarga dan sistem penjagaan kesihatan. Oleh itu, vaksinasi boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan beban denggi, khususnya bagi golongan berisiko tinggi, termasuklah kanak-kanak kecil, orang tua, mereka yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada, dan orang yang pernah mengalami jangkitan denggi [13] . Melindungi diri dengan vaksinasi juga akan memberi manfaat kepada mereka yang tinggal di dalam atau pergi ke kawasan yang tinggi kadar jangkitan denggi, tambah Dr Hon.
“Nyamuk tidak mengenal batasan sosial atau ekonomi – sesiapa sahaja boleh mendapat denggi, dan mustahil kita dapat meramal siapa yang akan sakit teruk. Malah tidak ada satu cara perlindungan yang berkesan sepenuhnya, atau satu rawatan khusus untuk denggi,” kata Dr Hon. “Inilah sebabnya pencegahan sangat penting, dan ia mesti menjadi usaha komuniti – apabila kita melindungi diri sendiri, kita juga melindungi orang lain.”
Tambahan pula, langkah menangani denggi ini sejajar dengan matlamat Hari Kesihatan Sedunia untuk meningkatkan usaha mengutamakan kesihatan jangka panjang dan kesejahteraan wanita, termasuk menamatkan kematian yang boleh dicegah di kalangan ibu dan bayi baru lahir.
Bak kata Hawiah, “Isu denggi tidak boleh dipandang ringan, kerana demam denggi yang teruk membawa kesan yang sangat berat, terutama pada wanita. Ia menyakitkan, berbahaya, dan boleh mengubah kehidupan selama-lamanya. Tetapi dengan kaedah pencegahan yang betul, kita boleh melindungi diri sendiri dan orang tersayang.”
Melalui pendidikan dan pemerkasaan yang berterusan, baik individu mahupun komuniti, serta sistem penjagaan kesihatan dan agensi kerajaan, boleh saling bekerjasama untuk mencegah denggi. Dengan mengamalkan langkah pencegahan bersepadu, daripada kawalan vektor ke vaksinasi, kita boleh menuju ke arah masa hadapan di mana denggi tidak lagi membebankan wanita dan komuniti rentan yang lain.
Nota kepada pengarang: Pandangan yang dinyatakan dalam rencana ini adalah pandangan pakar kesihatan dan berdasarkan kepada pengalaman dan pendapat profesionalnya.
[1] Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Malaysia. Situasi Semasa Demam Denggi Di Malaysia Tahun 2024
[2] Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Malaysia. Situasi Semasa Demam Denggi Di Malaysia Tahun 2022
[3] Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Malaysia. Situasi Semasa Demam Denggi Di Malaysia Tahun 2021
[4] Sangkaew, Sorawat et al. Risk predictors of progression to severe disease during the febrile phase of dengue: a systematic review and meta-analysis. The Lancet Infectious Diseases, Volume 21, Issue 7, 1014 – 1026
[5] Huy NT, Van Giang T, Thuy DHD, Kikuchi M, Hien TT, Zamora J, et al. (2013) Factors Associated with Dengue Shock Syndrome: A Systematic Review and Meta-Analysis. PLoS Negl Trop Dis 7(9): e2412. https://doi.org/10.1371/journal.pntd.0002412
[6] Sharma R, Sharma S. Physiology, Blood Volume. In: StatPearls. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; April 10, 2023.
[7] Tangnararatchakit K, Chuansumrit Ampaiwan, Chaiyaratana W et al. Letters to the Editor: Excessive Menstrual Bleeding in Adolescents With Dengue Infection. The Pediatric Infectious Disease Journal 29(1):p 92-93, January 2010. | DOI: 10.1097/INF.0b013e3181bf5406
[8] The BMJ. Assessment and management of dengue | The BMJ
[9] Chong V, Tan JZL, Arasoo VJT. Dengue in Pregnancy: A Southeast Asian Perspective. Trop Med Infect Dis. 2023;8(2):86. Published 2023 Jan 27. doi:10.3390/tropicalmed8020086
[10] Centers for Disease Control. Dengue During Pregnancy | Dengue | CDC
[11] Malavige GN, Sjö P, Singh K, Piedagnel JM, Mowbray C, et al. (2024) Facing the escalating burden of dengue: Challenges and perspectives | PLOS Global Public Health
[12] Huy NT, Van Giang T, Thuy DHD, Kikuchi M, Hien TT, Zamora J, et al. (2013) Factors Associated with Dengue Shock Syndrome: A Systematic Review and Meta-Analysis. PLoS Negl Trop Dis 7(9): e2412. https://doi.org/10.1371/journal.pntd.0002412
[13] Centers for Disease Control and Prevention. Increased Risk of Dengue Virus Infections in the United States