Kejadian Di Putra Heights: Di Sebalik Tragedi, Ini Hakikat Yang Rakyat Malaysia Sedang Amalkan
Kejadian letupan saluran paip gas yang berlaku di Putra Height baru-baru sememangnya mengejutkan ramai pihak dan kejadian sebegini jarang sekali untuk terjadi. Pelbagai tanggapan dan ulasan diberikan orang ramai, sama ada yang berbentuk positif, mahupun dari sudut negatif.
Walau bagaimanapun, jika dilihat apa yang berlaku, kejadian di Putra Heights menyedarkan kita tentang satu hakikat yang masyarakat Malaysia sedang amalkan sejak sekian lama. Boleh dikatakan yang disebalik tragedi, ada manis boleh ditonjolkan.

Hakikat yang dimaksudkan adalah rakyat Malaysia bersatu padu dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa kejadian. Sejak awal kejadian pada Hari Raya Aidilfitri yang kedua itu, sudah banyak bantuan yang dihulurkan orang awam kepada mangsa-mangsa kejadian. Mereka bagaikan tidak hiraukan diri sendiri, hanya mahu pastikan mangsa-mangsa yang lain juga selamat.
Ketika berada di fasa pasca tragedi, orang ramai juga dengan sukarela turun padang membantu ‘membersihkan’ kawasan terjejas. Mereka bertungkus-lumus membantu penduduk setempat yang terlibat, membaiki apa yang patut dan juga membersihkan sisa-sisa akibat kejadian letupan tersebut.

Lebih menarik, mereka membantu mangsa-mangsa kejadian tanpa memikirkan latar belakang bangsa mahupun agama seseorang. Perkara ini sudah membuktikan bahawa rakyat Malaysia sangat bersatu padu, tidak memilih golongan mangsa untuk dibantu.
Bantuan yang dihulurkan juga dengan pelbagai bentuk, kalau tidak mampu dengan wang ringgit, mereka juga tidak lelah turun membantu melalui fizikal dan juga tenaga. Ketika inilah dapat dibuktikan disebalik tragedi yang menimpa, ada hakikat di mana rakyat Malaysia sentiasa bersatu padu apabila orang lain ditimpa musibah.

Apabila bercakap tentang bantuan, sudah pasti ada yang mempersoalkan usaha kerajaan mahupun syarikat-syarikat yang berkaitan. Seperti yang dapat kita lihat, PETRONAS merupakan syarikat yang paling awal bertindak balas dalam kejadian ini, dengan menjalankan tugas sebagai pemilik aset tanpa mengira siapa pun yang menjadi punca kepada kejadian ini.
Bagi PETRONAS, usaha untuk menstabilkan dan memastikan keselamatan orang ramai serta komuniti setempat terjamin terlebih dahulu kerana ia boleh dianggap sebagai krisis awam. Mengenai siapa yang salah atau yang terlibat, itu boleh dibicarakan kemudian hari kerana keselamatan orang ramai lebih menjadi keutamaan.

Selain itu, banyak lagi syarikat yang turut serta menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat. Sebagai contoh, syarikat insuran Etiqa membantu dengan memberi perlindungan semua kenderaan, kemalangan peribadi, kebakaran runcit, pemilik rumah dan pelanggan yang terjejas akibat tragedi ini. Lebih bermakna, Etiqa turut mengecualikan keperluan laporan polis untuk permudahkan proses tuntutan.
Antara lain, syarikat kenderaan Chery Corporate Malaysia turut menjalankan Program Bantuan Kenderaan Sementara bertujuan membantu keluarga mangsa terjejas untuk mendapatkan akses pengangkutan sementara untuk segala urusan yang mereka perlu lakukan. Bukan Etiqa dan Chery sahaja, syarikat BCorp, Matrix, Carsome dan banyak lagi syarikat lain turut membantu mangsa-mangsa kejadian.


Tak habis dengan itu, Tabung Prihatin Selangor juga berjaya mengumpul sebanyak RM4.74 juta setakat dilaporkan pada 16 April lalu untuk membantu mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights. Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, jumlah terkumpul tersebut hasil sumbangan pelbagai pihak yang prihatin dengan tragedi berkenaan.
Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) juga tidak terlepas menyalurkan bantuan hampir RM30,000 kepada mangsa tragedi Putra Heights. Sumbangan itu dikumpulkan menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) sebagai sebahagian daripada usaha bantuan kecemasan dan sokongan pasca bencana.
Bantuan tersebut digunakan untuk sediakan keperluan asas seperti makanan, minuman serta sokongan piskososial bagai pastikan fizikal dan mental mangsa terus terpelihara.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga turut tampil melaksanakan pelan tindakan komprehensif demi membela nasib mangsa. Antaranya KPKT telah menubuhkan pasukan petugas khas yang terdiri daripada semua agensi di bawah kementerian, termasuk agensi pelaksana seperti SPNB dan PR1MA. Menurut Menteri KPKT, Nga Kor Ming, sejumlah RM2 juta diperuntukkan kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi membaik pulih infrastruktur awam yang terjejas.
Kumpulan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan rakan strategiknya turut menyumbang RM2 juta sebagai bantuan segera kepada mangsa. Walau bagaimanapun, sumbangan itu disalurkan melalui Tabung Selangor Prihatin bagi memenuhi keperluan mendesak dalam membantu keluarga yang terjejas.
Antara rakan strategik MBI termasuklah Oriental Interest Bhd (Myra Garden), Astrum Shah Alam Sdn Bhd, Murni Gemilang Sdn Bhd, MGB Bhd, Jejak Rimbun Sdn Bhd, Trans Loyal Development Sdn Bhd, Gagasan Nadi Cergas Bhd, Impeccable Vintage Properties, Mirago Resources Sdn Bhd, Sg. Rambai Holdings Sdn Bhd, Midas Dragon Sdn Bhd, East Rock Sdn Bhd dan Laurelcap Sdn Bhd.
Begitu juga syarikat Petronas Gas Bhd (PGB) yang terus menyalurkan bantuan dengan serta-merta setelah kejadian ini berlaku. Sejak hari pertama, PGB telah menyediakan kira-kira 1,000 pek makanan sehari di pusat bantuan dan lebih 100 kakitanganya menawarkan diri untuk menguruskan agihan makanan di pusat bantuan sementara (PPS).
Petronas juga turut bekerjasama dengan hospital, KKM, kerajaan Persekutuan dan Prihatin Selangor untuk menyediakan kemudahan perubatan dan mengagihkan lebih RM700,000 bantuan kewangan kepada mangsa yang terjejas. PGB juga bekerjasama dengan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam usaha bantuan lanjutan untuk menyediakan penempatan transit bagi yang memerlukan kediaman jangka masa panjang.

Kejadian letupan saluran paip gas di Putra Heights memang merupakan satu tragedi, namun kita dapat melihat rakyat Malaysia bersatu padu mengerah segala tenaga, memperuntukkan sejumlah kewangan untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat. Hakikat yang kita perlu hadam di dalam hati dan fikiran adalah rakyat Malaysia sentiasa membantu satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama.