Rupanya “Baby Kangaroo” Bukan Lahir Dalam Kantung Perut Ibunya
Selama ini ramai antara kita beranggapan bahawa anak kanggaru, atau lebih dikenali sebagai “joey”, dilahirkan terus di dalam kantung perut ibunya.
Namun, realitinya jauh berbeza. Sebenarnya, kita semua telah tertipu oleh tanggapan yang kurang tepat ini.
Untuk info, kanggaru termasuk dalam kumpulan haiwan yang dikenali sebagai marsupial.
Kumpulan ini merangkumi haiwan mamalia yang terkenal dengan ciri kantung khas pada bahagian perut betina. Ia adalah tempat di mana anak-anak kanggaru membesar selepas dilahirkan.
Tapi, jangan sangka anak kanggaru dilahirkan terus di dalam kantung itu. Sebenarnya, proses kelahiran mereka jauh lebih ‘menakjubkan’.
Saiz macam kacang jeli, lahir dalam wujud ‘belum sempurna’
Selepas tempoh kehamilan sekitar 34 hari (sangat pendek berbanding mamalia lain) ibu kanggaru akan melahirkan seekor anak yang sangat kecil, seumpama saiz kacang jeli.
Lebih mengejutkan, anak kanggaru ini masih belum lengkap berkembang sepenuhnya. Ia lahir dalam keadaan hampir seperti embrio.
Tanpa bantuan luar, anak kecil ini akan merangkak sendiri melalui bulu ibunya untuk sampai ke kantung perut.
Kedengaran mustahil, tetapi inilah proses semula jadi yang menakjubkan dalam kelahiran seekor kanggaru.
Sebaik sahaja berjaya masuk ke dalam kantung, anak kanggaru akan melekat pada puting susu dan terus menyusu tanpa henti selama lebih dua bulan.
Di dalam kantung yang hangat dan selesa itulah tempat mereka membesar dengan selamat.
Pada usia sekitar enam bulan, anak kanggaru akan mula keluar masuk dari kantung untuk tempoh yang singkat, biasanya untuk bermain dan menjelajah.
Namun, mereka akan kembali ke kantung untuk menyusu atau mencari perlindungan.
Bagi kanggaru merah, mereka akan meninggalkan kantung sepenuhnya sekitar usia lapan bulan dan masih menyusu sehingga usia 12 bulan.
Kanggaru kelabu pula keluar sepenuhnya lebih lewat, sekitar 11 bulan, dan terus menyusu hingga mencecah usia 18 bulan.
Ibu kanggaru boleh menyusukan dua anak serentak
Salah satu keistimewaan luar biasa ibu kanggaru ialah kemampuannya menyusukan dua anak serentak, iaitu satu yang masih berada di dalam kantung dan satu lagi yang sudah keluar.
Menariknya, tubuh ibu ini mampu menghasilkan dua jenis susu berbeza yang disesuaikan dengan tahap perkembangan setiap anak.
Malah, dalam masa yang sama, tubuhnya juga bersedia dengan satu lagi embrio untuk kehamilan seterusnya.
Bagi yang tertanya-tanya, adakah kanggaru jantan juga memiliki kantung? Jawapannya, tidak.
Hanya kanggaru betina sahaja yang mempunyai kantung kerana hanya mereka yang menjalankan tugas membesarkan anak dan menyusukan.
Kanggaru jantan pula tidak memerlukan kantung kerana mereka tidak berperanan dalam proses menyusukan anak.
BACA: Rancangan Baharu Trump Cetus Perdebatan Hangat
BACA: Didakwa Prestasi Buruk, Majikan Bayar Gaji Guna Duit Syiling
BACA: Kari Ayam Malaysia Diiktiraf Stew Terbaik Dunia
Sumber: BBC Wildlife Magazine, National Geographic