Angka Korban Meningkat Kepada 14, 750 Cedera Dalam Letupan Pelabuhan Iran
TEHRAN, 27 April (Bernama) — Angka korban akibat letupan di Pelabuhan Shahid Rajaee di selatan Iran meningkat kepada 14 orang, manakala sekurang-kurangnya 750 lagi cedera, menurut pihak berkuasa pada Ahad.
Menteri Dalam Negeri, Eskander Momeni dalam temu bual bersama penyiar tempatan memaklumkan angka kematian meningkat daripada lapan kepada 14 orang.
Beliau berkata, 200 daripada mangsa yang cedera telah dibenarkan keluar dari hospital, manakala 300 lagi masih menerima rawatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut Momeni, kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan lain menerusi langkah pengasingan, dengan bantuan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) serta sokongan logistik dari wilayah-wilayah berhampiran.
Beliau turut menegaskan bahawa sistem operasi pelabuhan dan kastam tidak mengalami kerosakan serius, membolehkan aktiviti pemuatan, pelepasan kargo dan urusan kastam diteruskan.
Pasukan bomba masih giat berusaha memadamkan kebakaran itu, dengan Momeni berkata keutamaan selepas operasi menyelamat kini adalah memastikan kebakaran terkawal sepenuhnya.
Bantuan tambahan dari bandar-bandar lain, termasuk dari Tehran turut dihantar ke Bandar Abbas dan pihak berkuasa menjangkakan keadaan akan stabil dalam beberapa jam.
Terdahulu, Presiden Masoud Pezeshkian dalam satu kenyataan di platform X menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada mangsa, serta mengarahkan siasatan penuh dijalankan terhadap insiden itu.
BACA: Amaran Ribut Petir, Hujan Lebat Di Kebanyakan Negeri Petang Ini
Beliau turut melantik Momeni sebagai wakil khasnya untuk menyelia tindak balas di lapangan dan memastikan koordinasi berjalan lancar.
Sementara itu, Pentadbiran Kastam Iran mengarahkan semua pejabat kastam menangguhkan penghantaran eksport dan transit ke Kastam Shahid Rajaee sehingga diberitahu kelak.
Letupan berlaku sekitar tengah hari waktu tempatan (08.30 GMT) di kawasan dok kontena pelabuhan itu.
Laporan tempatan menyebut kebakaran kecil bertukar menjadi letupan besar, dipercayai berpunca daripada suhu tinggi yang mencecah 40 darjah Celsius serta kehadiran bahan mudah terbakar.
Terletak kira-kira 15 kilometer ke barat daya Bandar Abbas, Pelabuhan Shahid Rajaee merupakan kemudahan penting di pantai utara Selat Hormuz.
Sumber: BERNAMA