Kawal Harga Pasaran, Prabowo Seru Rakyat Ternak Ikan Keli, Tanam Cili di Rumah
BANYUASIN — Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyeru setiap rakyat untuk menanam pokok cili di kediaman masing-masing bagi membantu mengawal harga pasaran bahan makanan tersebut, lapor Detik.com.
Menurut beliau, jika setiap keluarga memiliki sekurang-kurangnya lima pasu cili di rumah, harga cili di pasaran tidak akan lagi melonjak tinggi.
“Jika satu keluarga ada lima pasu cili, harga cili tidak akan mahal lagi. Malah, setiap keluarga juga boleh mempunyai tanaman tomato dan timun sendiri,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran Gerakan Indonesia Menanam di Banyuasin, Sumatera Selatan pada Rabu.
Jelas Prabowo, idea tersebut pernah diutarakan oleh Menteri Penyelaras Bidang Pangan, Zulkifli Hasan, yang percaya bahawa langkah ini mampu mempercepatkan usaha mencapai swasambada (mencukupi) makanan di negara itu.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar rakyat menjalankan penternakan ikan keli di rumah untuk menampung keperluan makanan harian.

Menurutnya, kerajaan bersedia menyediakan latihan khusus kepada masyarakat bagi menyokong usaha tersebut.
Prabowo turut menekankan bahawa bekalan dan ketahanan makanan negara hanya dapat dicapai sekiranya semua pihak bersatu, termasuk rakyat biasa yang sanggup menghasilkan makanan sendiri secara kecil-kecilan.
“Semua pihak perlu bersatu, ibarat membentuk sebuah pasukan nasional, demi mencapai impian negara yang aman, kuat dan stabil. Kita tidak mahu digugat oleh kuasa luar, sebaliknya kita harus menjaga rakyat kita sendiri,” tegasnya.
Sumber: Detik,com