China Didakwa Rampas Kawalan Beting Jadi Pertikaian Di Laut China Selatan
Pengawal Pantai China didakwa telah merampas kawalan ke atas satu kawasan beting yang menjadi pertikaian berhampiran pos utama tentera Filipina di Laut China Selatan.
Menurut media rasmi China, CCTV, pasukan Pengawal Pantai negara itu telah melaksanakan ‘kawalan maritim’ di Beting Tiexian atau Sandy Cay sejak pertengahan April lalu.
Beting pasir bersaiz kecil berkenaan merupakan sebahagian dari Kepulauan Spratly dan terletak berhampiran Pulau Thitu, juga dikenali sebagai Pag-asa yang menempatkan fasiliti kententeraan Filipina.
CCTV berkata, pasukan Pengawal Pantai itu mendarat di Sandy Cay bagi ‘menguatkuasakan kedaulatan dan undang-undang’ dan melakukan pemeriksaan serta ‘mengumpul bukti video aktiviti tidak sah oleh Filipina’.
Agensi penyiaran itu turut menyiarkan sekeping gambar yang menunjukkan lima individu berpakaian hitam berdiri di kawasan beting tidak berpenghuni itu.
Sekeping lagi gambar pula menunjukkan empat anggota Pengawal Pantai bergambar dengan bendera China di kawasan pantai putih, yang digambarkan sebagai ‘ikrar kedaulatan’ oleh media berkenaan.
Kumpulan itu juga dilapor membersihkan kawasan beting itu dan mengumpul sampah-sampah yang ditemui seperti botol plastik, kayu dan serpihan-serpihan yang lain.
Dalam pada itu, Financial Times melaporkan seorang pegawai dari Filipina yang tidak dinamakan memberitahu bahawa Pengawal Pantai China telah meninggalkan kawasan beting berkenaan.
Malah, tiada tanda-tanda bahawa China telah menduduki kawasan beting itu secara kekal dan tiada sebaran binaan dikesan.
Menurut AFP, China mendakwa hampir keseluruhan kawasan di Laut China Selatan adalah miliknya walaupun berdepan dengan tuntutan bertindih dengan beberapa negara lain dan keputusan antarabangsa yang menolak tuntutannya sebagai tidak sah.
Konfrontasi antara China dengan Filipina di kawasan perairan yang dipertikaikan itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan lamanya.
Kedua-dua negara saling tuding-menuding menyalahkan antara satu sama lain, termasuk isu kerosakan terumbu karang yang dilapor berlaku di kawasan berkenaan.
Manakala Filipina ketika ini sedang melaksanakan latihan ketenteraan selama tiga minggu bersama Amerika Syarikat yang didakwa China telah menyebabkan ketidakstabilan di kawasan itu.
BACA: Julang Gelaran Liga Ke-20, Liverpool Kelab Inggeris Paling Berjaya
Sumber: AFP