Sangka Kereta Baru, Lelaki Terbeli Kereta Sendiri Yang Dicuri Sebelum Ini
Seorang lelaki di Solihull, United Kingdom tidak menyangka kereta baharu yang dibeli sebenarnya adalah kereta miliknya yang hilang akibat dicuri sebelum ini.
Menurut BBC, situasi tidak dijangka itu hanya disedari oleh Ewan Valentine, 36, selepas dia membeli Honda Civic berwarna hitam berharga £20,000 (kira-kira RM116,000).
Ewan yang merupakan seorang jurutera perisian berkata, dia mendapati kereta tersebut sebenarnya adalah Honda Civic Type-R 2016 lama miliknya yang hilang sejak dua bulan lepas.
Berkongsi tentang kisah itu kepad BBC, Ewan memaklumkan kereta berkenaan hilang daripada pegangannya sejak 28 Februari.
Dia kemudian membuat laporan kepada pihak polis dan syarikat insurans berhubung kehilangan tersebut.
Beli Honda Civic, rupanya kereta sendiri yang dicuri sebelum ini
Oleh kerana merasa begitu kecewa selepas kereta kesayangannya hilang, Ewan mengambil keputusan untuk mencari dan membeli Honda Civic model yang sama sebagai pengganti.
“Ia memang kereta idaman saya dan bukan mudah untuk mencari sebuah Honda Civic Type-R. Jadi, saya memang sangat bertekad untuk mencari model yang sama.
“Hinggalah suatu hari saya menemui sebuah Honda Civic yang mempunyai warna, model dan tahun pengeluaran yang sama. Malah, sistem ekzosnya juga sama dengan kereta saya yang hilang,” katanya.
Ewan seterusnya telah membayar £20,000 untuk membeli kereta tersebut daripada sebuah garaj yang mempunyai reputasi tinggi dan memandunya pulang.
Apabila tiba di rumah dan membuat pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan berkenaan, Ewan menemui beberapa kemusykilan.
“Saya menemui beberapa barang di dalam kereta itu seperti batang pacak khemah dan cebisan pokok krismas. Semuanya sama seperti apa yang boleh saya temui di dalam kereta lama saya sebelum ia hilang,” katanya lagi.
Walaupun kereta tersebut mempunyai nombor pendaftaran baru dan jarak perbatuan yang rendah, pemeriksaan lanjut ke atas sistem navigasi terbina Honda Civic itu mengesahkan kecurigaannya.
Dia menemui alamat rumah ibu bapanya dalam senarai sejarah sistem berkenaan.
“Saya amat terkejut. Tangan saya menggeletar dan jantung saya merasa amat berdebar dengan penemuan berkenaan.
“Pada satu ketika, ia seolah-olah detik yang sangat indah kerana saya menemui kereta lama saya kembali.
“Namun apabila difikirkan semula, ia adalah sebaliknya. Saya sebenarnya melakukan perkara bodoh kerana membeli kereta sendiri yang hilang akibat dicuri,” kata Ewan lagi.
Ewan kemudian membawa kenderaan itu semula ke garaj Honda dan membuat laporan polis tentang penemuan tersebut.
BACA: Julang Gelaran Liga Ke-20, Liverpool Kelab Inggeris Paling Berjaya
Sumber: BBC