Siakap Keli
Skim 1 OKU 1 Perniagaan: Peluang Usahawan OKU
Gambar AI

Skim 1 OKU 1 Perniagaan: Peluang Usahawan OKU

Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P): Peluang Untuk Usahawan OKU Melangkah Lebih Jauh

Di Malaysia, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk memperkasa komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) agar lebih berdikari dan berdaya saing, khususnya dalam bidang keusahawanan. Antara usaha penting ini ialah Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P).

Skim ini bukan sahaja meringankan beban kos permulaan perniagaan, malah membuka laluan kepada OKU untuk menjadi usahawan berjaya. Skim ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan peluang perniagaan dapat dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat.

Malah, Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) adalah sebuah inisiatif istimewa yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi menggalakkan penyertaan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam dunia keusahawanan.

Melalui skim ini, OKU yang ingin mendaftarkan perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 diberikan pengecualian fi untuk pendaftaran dan pembaharuan perniagaan mereka.

Menariknya, pengecualian ini diberikan untuk tempoh satu tahun, sama ada bagi pendaftaran perniagaan baharu atau pembaharuan sijil pendaftaran.

Namun begitu, sekiranya pemohon ingin mendapatkan maklumat tambahan seperti pendaftaran cawangan atau maklumat perniagaan lain, caj biasa masih dikenakan.

Pengecualian Fi yang Ditawarkan

Terdapat dua kategori pengecualian fi di bawah skim ini:

Perniagaan Milikan Tunggal Menggunakan Nama Sendiri

Bagi perniagaan yang menggunakan nama pemilik seperti dalam kad pengenalan (contohnya, Salman bin Ahmad), fi pendaftaran sebanyak RM30 dikecualikan.

Perniagaan Menggunakan Nama Tred

Untuk perniagaan milikan tunggal atau perkongsian yang menggunakan nama tred seperti “Syawal Mesra Enterprise” atau “Ethan Body Fitness”, pengecualian fi yang diberikan adalah sehingga RM60.

Nota penting: Pembaharuan perniagaan perlu dibuat dalam tempoh 30 hari sebelum tarikh tamat bagi memastikan kelayakan mendapatkan pengecualian fi ini.

Syarat Kelayakan Skim

Untuk memohon Skim 1 OKU 1 Perniagaan, pemohon perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

  • Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
  • Pemegang Kad OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
  • Belum pernah menggunakan skim ini untuk pendaftaran atau pembaharuan perniagaan di SSM.
  • Terhad kepada satu pendaftaran per individu OKU.
  • Jika ingin mendaftar perniagaan perkongsian, semua rakan kongsi juga mesti merupakan OKU yang berdaftar.

Proses Permohonan

Permohonan untuk skim ini boleh dilakukan secara atas talian melalui laman web rasmi Ezbiz Online. Namun, sebelum boleh menggunakan Ezbiz, pemohon perlu mendaftar akaun pengguna terlebih dahulu dan hadir ke pejabat SSM sekali sahaja untuk proses pengesahan identiti sebagai langkah keselamatan.

Dokumen yang perlu disediakan semasa pendaftaran Ezbiz adalahseperti di bawah:

  • Salinan MyKad (depan dan belakang).
  • Salinan Kad OKU yang sah dikeluarkan oleh JKM.

BACA : Ini 7 Perkara Anda WAJIB Elak Sebelum Travel 

Kelebihan Mendaftar Perniagaan

  • Perniagaan diiktiraf sebagai sah mengikut peruntukan undang-undang
  • Membolehkan peniaga membuka akaun semasa atas nama perniagaan yang berdaftar.
  • Meningkatkan keyakinan pelanggan untuk berurusan dengan peniaga yang sah dan berdaftar.
  • Memudahkan peniaga mendapatkan akses kepada peluang pembiayaan kewangan serta program latihan yang ditawarkan oleh kerajaan dan agensi berkaitan.
  • Memberikan keupayaan kepada peniaga untuk menjalankan urusan jual beli secara sah, termasuk memeterai kontrak perniagaan.

Skim 1 OKU 1 Perniagaan bukan sekadar memberikan keistimewaan dari segi kos pendaftaran, malah ia membuka lebih banyak ruang kepada golongan OKU untuk berdikari melalui keusahawanan. Dengan kemudahan yang disediakan, sudah tiba masanya golongan OKU melangkah lebih yakin dalam dunia perniagaan.

Sumber : SSM

BACA : “Explore” KL: 8 Tempat Menarik Hanya Dengan Menaiki LRT 

suhaila

live your best life

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.