Ini 7 Perkara Anda WAJIB Elak Sebelum Travel
Bercuti ke destinasi idaman pastinya menjadi impian ramai orang sama ada ke luar negara, pulau peranginan, atau percutian ringkas dalam negara bersama keluarga.
Ia bukan sahaja peluang untuk berehat daripada tekanan kerja, malah waktu terbaik untuk meluangkan masa berkualiti dengan insan tersayang.
Namun begitu, kegembiraan bercuti boleh bertukar menjadi mimpi ngeri jika anda terlepas pandang perkara-perkara penting sebelum berangkat.
Ramai yang terlalu fokus merancang itinerari, mencari lokasi Instagrammable, atau membeli pakaian baru hingga terlupa langkah asas yang sepatutnya diambil untuk menjamin kelancaran perjalanan.
Lebih malang lagi, kesilapan kecil seperti tertinggal passport, tidak membeli insurans perjalanan, atau terlupa mengunci rumah boleh mengakibatkan kerugian masa, wang dan emosi.
Sebelum anda mula tarik beg ke lapangan terbang, berikut adalah 7 perkara yang sebaiknya tidak dilakukan sebelum travel. Anda wajib elak kesilapan ini agar boleh menikmati percutian dengan hati yang tenang dan bebas tekanan.
1. Menunda Kemas Beg Hingga Saat Akhir
Mungkin kedengaran remeh, tetapi mengemas beg pada saat-saat akhir adalah kesilapan paling biasa dilakukan. Ianya boleh mengundang banyak masalah.
Dalam keadaan tergesa-gesa, anda mudah lupa membawa barangan penting seperti passport, ubat-ubatan harian, pengecas, pakaian yang sesuai mengikut cuaca, atau keperluan peribadi lain.
Lebih buruk lagi jika anda membawa barang yang dilarang dalam bagasi kabin dan terpaksa mengurangkan beban di kaunter check-in.
Sebaiknya, buat senarai semak sekurang-kurangnya seminggu lebih awal dan mula mengemas beg 2–3 hari sebelum hari bertolak.
Ini memberi anda masa untuk semak semula barang, beli apa yang belum cukup, dan elak tekanan mental menjelang hari perjalanan.
2. Tidak Membuat Kajian Tentang Destinasi
Berada di tempat asing tanpa pengetahuan asas tentang lokasi, adat setempat dan keperluan penting boleh menjadikan perjalanan anda sangat mencabar.
Setiap negara mempunyai budaya, peraturan dan kemudahan berbeza. Termasuk dari aspek makanan halal, cuaca, kadar jenayah, sistem pengangkutan, kadar tukaran mata wang, dan isu keselamatan.
Melancong tanpa membuat kajian boleh menyebabkan anda tersalah pilih tempat penginapan, terjebak di kawasan kurang selamat, atau lebih teruk apabila anda melakukan sesuatu yang dianggap menghina budaya tempatan.
Ambil sedikit masa untuk membaca artikel, blog kembara, atau menonton video pengalaman pelancong lain. Kajian ringkas ini mampu menyelamatkan anda daripada kesulitan yang tidak dijangka.
Ini 7 Perkara Anda Wajib Elak Sebelum Travel – Barulah Tenang Nak Bercuti!
3. Mengabaikan Tarikh Luput Passport
Selin itu, jangan sesekali ambil ringan hal tarikh luput passport! Kesilapan ini sering berlaku, terutama bagi yang jarang keluar negara. Ramai yang menyangka selagi passport masih ‘hidup’, ia boleh digunakan.
Namun hakikatnya, kebanyakan negara meletakkan syarat minimum 6 bulan tempoh sah laku passport dari tarikh anda tiba di negara mereka.
Jika passport anda akan tamat tempoh dalam tempoh 6 bulan atau kurang, kemungkinan besar anda akan ditolak masuk oleh pihak imigresen, walaupun tiket penerbangan sudah dibeli.
Ini bukan sahaja menyusahkan, malah boleh menyebabkan kerugian wang yang besar. Jadi, semak passport anda lebih awal dan perbaharui secepat mungkin jika perlu.
4. Tidak Mengambil Insurans Perjalanan
Ramai yang masih menganggap insurans perjalanan sebagai satu pembaziran hanya kerana mereka belum pernah mengalaminya. Tetapi hakikatnya, pelancong yang bijak tidak akan mengambil risiko.
Insurans perjalanan memberi perlindungan menyeluruh terhadap pelbagai insiden tidak dijangka seperti kehilangan bagasi, kelewatan penerbangan, kecemasan perubatan, kemalangan, mahupun pembatalan perjalanan atas sebab tertentu.
Bayangkan jika anda jatuh sakit di negara asing dan perlu dimasukkan ke hospital. Kos rawatan boleh mencecah ribuan ringgit. Dengan insurans, semuanya ditanggung.
Malah ada insurans yang menawarkan perlindungan untuk kes kecurian atau kehilangan dokumen penting. Ambil masa untuk bandingkan polisi insurans dan pilih yang sesuai dengan jenis perjalanan anda.
BACA : Tip Betul Susun Makanan Dalam Peti Sejuk, Kekal Segar & Berkualiti
5. Mengabaikan Keselamatan Rumah
Antara lain, rumah yang ditinggalkan tanpa pemantauan menjadi sasaran mudah kepada kejadian pecah masuk. Sebelum anda meninggalkan rumah untuk tempoh beberapa hari atau minggu, pastikan aspek keselamatan dipertingkatkan.
Tutup dan cabut semua suis elektrik, kunci semua pintu dan tingkap dengan selamat, dan pastikan tiada surat atau barang penting tertinggal di luar rumah.
Jika anda mempunyai jiran atau rakan yang dipercayai, maklumkan kepada mereka tentang ketiadaan anda dan minta mereka periksa rumah sekali-sekala.
Aktifkan sistem penggera keselamatan dan CCTV sekiranya ada. Langkah pencegahan ini nampak kecil, tapi mampu menyelamatkan anda daripada kerugian besar jika sesuatu yang tidak diingini berlaku.
6. Tukar Wang Di Lapangan Terbang
Menukar wang di lapangan terbang mungkin nampak mudah dan pantas, tetapi hakikatnya kadar tukaran di sana jauh lebih tinggi dan merugikan. Jika anda menukar jumlah yang besar, perbezaan kadar boleh menyebabkan anda kehilangan ratusan ringgit.
Untuk lebih bijak, tukar mata wang di pengurup wang sah yang menawarkan kadar kompetitif sebelum hari perjalanan.
Anda juga boleh gunakan kad debit/kredit pelancongan yang menawarkan kadar tukaran yang lebih baik serta tiada caj tersembunyi.
Sesetengah negara juga membenarkan pelancong menggunakan e-wallet tempatan. Jadi, pastikan anda kaji pilihan pembayaran yang sesuai sebelum sampai ke destinasi.
7. Tidak Menyediakan Akses Internet Antarabangsa
Zaman sekarang, internet bukan lagi kemewahan ketika travel tetapi ia adalah keperluan.
Tanpa sambungan internet, anda sukar menggunakan aplikasi penting seperti peta, penterjemah bahasa, perkhidmatan e-hailing, atau sekadar mencari tempat makan terdekat. Lebih-lebih lagi jika berlaku kecemasan, komunikasi menjadi terbatas.
Sebelum berlepas, pastikan anda menyemak pilihan pelan data antarabangsa dengan syarikat telco anda, atau rancang untuk membeli kad SIM tempatan sebaik tiba.
Anda juga boleh menyewa modem poket (pocket Wi-Fi) yang sesuai untuk kumpulan pelancong. Jangan ambil risiko berada di tempat asing tanpa akses internet kerana ia boleh menyukarkan segala urusan anda.
Penutup: Rancang Dengan Bijak, Bercuti Dengan Tenang & Teliti Perkara Wajib Elak Sebelum Travel
Percutian yang menyeronokkan bermula dengan perancangan yang teliti.
Dengan mengelakkan kesilapan yang sering dilakukan sebelum travel, anda bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan wang, malah lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Luangkan sedikit masa untuk merancang, menyemak dan memastikan semua aspek penting telah diuruskan sebelum anda berlepas.
Sumber : youtube, rusticpathways
BACA : Skim SPPM LPPSA 2025: Peluang Anak Muda Miliki Rumah Pertama