Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Belum Masuk Usia ‘Emas’ Dah Kerap Sakit Belakang, Ini 5 Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian

Sakit Belakang

Baru habis kerja, dah mula mengurut belakang badan. Balik rumah pula, nak kena membasuh baju, mengemas dan melayan anak pun rasa tak selasa. 

Iklan

Mesti ramai yang pernah rasa macam ni?

Umur belum pun masuk 30 tahun, tapi sakit belakang dah selalu datang mengganggu. Bila badan tak selesa, kerja hakiki yang biasa kita buat pun mulalah terasa susah.

Cuba semak balik rutin kita setiap hari. Mungkin ada yang duduk berjam-jam memandu atau bekerja, ada yang kerap mengangkat barang berat atau berperang di ladang. 

Dalam kesibukan mencari rezeki dan mengurus keluarga, cara kita duduk, bergerak serta mengangkat barang kadangkala kurang diberi perhatian.

Jadi buat abang-abang dan kakak-kakak di luar sana apa yang boleh kita buat? 

Jom kenali beberapa cara penjagaan yang dikongsikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membantu mengatasi sakit belakang.

Selalu Sakit Belakang? Cuba Beri Perhatian Pada Lima Perkara Ini

1. Jaga cara duduk dan berdiri

Bila terlalu fokus bekerja, kadangkala tak perasan badan dah membongkok. Sebab itu, cara kita duduk dan berdiri setiap hari juga perlu diberi perhatian. Menjaga postur badan merupakan antara langkah yang disarankan KKM.

2. Perhatikan posisi tidur

Selepas seharian bekerja, memang tak sabar nak baring dan berehat. Namun, posisi badan ketika tidur pun penting untuk diberi perhatian. Dalam perkongsian tersebut, KKM turut menyenaraikan tidur dengan posisi yang betul sebagai antara cara membantu mengatasi sakit belakang.

3. Angkat barang dengan cara yang betul

Angkat bakul baju, barang dapur atau kotak di tempat kerja mungkin dah jadi perkara biasa. Walaupun nak cepat siap, jangan abaikan posisi badan ketika mengangkat barang. Bukan waktu duduk sahaja kena jaga postur, waktu mengangkat barang pun sama.

4. Luangkan masa untuk regangan

Dalam kesibukan bekerja dan mengurus rumah, cuba luangkan sedikit masa untuk regangan yang sesuai dengan kemampuan diri. Regangan juga merupakan antara langkah yang disenaraikan KKM dalam perkongsian berkenaan.

5. Dapatkan rawatan fisioterapi jika diperlukan

Selain penjagaan harian, KKM turut menyenaraikan rawatan fisioterapi sebagai salah satu cara menangani sakit belakang. Antaranya termasuk rawatan haba, manipulasi tisu dan senaman kekuatan otot belakang. Kesesuaian rawatan pula perlu dinilai oleh petugas kesihatan.

Kredit: KKM

Nak Mula Hidup Lebih Sihat? Ini Antara Aktiviti Menarik Yang Meriahkan BMSS 2026

Bila sebut tentang jaga kesihatan, jangan terus bayangkan kena masuk gim atau buat senaman berat sahaja. Sebenarnya, ada banyak cara menarik yang boleh kita lakukan untuk mengamalkan gaya hidup sihat, melalui aktiviti santai bersama keluarga.

Lebih menarik, penjagaan kesihatan juga boleh dipelajari melalui pelbagai aktiviti interaktif yang bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi pengalaman baharu kepada setiap lapisan umur.

Itulah antara pengisian yang diketengahkan menerusi Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) 2026 Peringkat Kebangsaan yang telah berlangsung di AEON Ayer Keroh, Melaka pada 30 Oktober hingga 1 November 2026 baru-baru ini.

Sepanjang sambutan tersebut, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bagi mendekatkan masyarakat dengan amalan gaya hidup sihat melalui pendekatan yang lebih santai, kreatif dan menyeronokkan.

Bukan sekadar mendengar perkongsian tentang kesihatan, pengunjung juga berpeluang mencuba sendiri aktiviti yang disediakan.

Macam-Macam Aktiviti Ada!

Antara aktiviti yang mencuri perhatian ialah Sembang Santai, iaitu sebuah forum kesihatan secara langsung yang mengetengahkan konsep seperti podcast.

Berbeza dengan forum kesihatan biasa yang lebih formal, Sembang Santai membawakan perbincangan mengenai kesihatan melalui perbualan yang lebih santai, mesra dan mudah diikuti oleh orang ramai.

Bagi kanak-kanak pula, aktiviti Dapur Cilik memberi peluang kepada mereka untuk merasai sendiri pengalaman menyediakan makanan sihat menerusi bengkel memasak secara praktikal.

Siapa kata belajar tentang pemakanan sihat itu bosan? Melalui aktiviti ini, anak-anak dapat mengenali penyediaan makanan berkhasiat dengan cara yang menyeronokkan, seolah-olah sedang bermain dengan permainan kegemaran mereka.

Tidak kurang menariknya ialah aktiviti Basikal Buah Sihat yang menggabungkan pergerakan fizikal dengan penyediaan minuman berasaskan buah-buahan.

Bayangkan, nak hasilkan smoothie buah sendiri pun kena kayuh basikal…

Menerusi aktiviti ini, peserta perlu mengayuh basikal untuk menggerakkan pengisar sehingga terhasil minuman smoothie buah-buahan mereka sendiri.

Secara tidak langsung, aktiviti ini menunjukkan bahawa amalan hidup sihat boleh dilakukan melalui pelbagai cara yang kreatif dan menyeronokkan.

Senaman POUND

Bagi pengunjung yang gemarkan aktiviti lebih aktif dan bertenaga, senaman POUND turut menjadi antara pengisian menarik sepanjang sambutan berlangsung.

Untuk yang belum tahu, POUND merupakan sejenis senaman kardio yang menggabungkan pergerakan aerobik dengan aksi seperti bermain dram.

Menariknya, peserta menggunakan kayu dram khas yang dikenali sebagai Ripstix sambil melakukan pergerakan mengikut rentak muzik.

Gabungan muzik dan pergerakan ini menjadikan aktiviti senaman lebih menyeronokkan, sekali gus memperlihatkan bahawa bersenam tidak semestinya perlu dilakukan melalui rutin yang sama setiap hari.

Dalam pada itu, sambutan BMSS 2026 tersebut turut menyaksikan majlis pelancaran rasmi yang disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, YB Dr. Dzulkefly Ahmad.

Penganjuran sambutan seperti ini menjadi antara usaha untuk menggalakkan masyarakat memberikan lebih perhatian terhadap penjagaan kesihatan dan menjadikan amalan hidup sihat sebahagian daripada rutin harian.

Tak Sempat Datang Di Melaka? Jangan Risau, Ada Dua Lagi Lokasi Menanti!

Buat anda yang terlepas peluang untuk menyertai kemeriahan BMSS 2026 di Melaka, jangan risau kerana masih ada peluang.

Selepas Melaka, sambutan BMSS 2026 akan diteruskan di dua lagi lokasi berikut:

• 7 November 2026 (Sabtu) – Vivacity Megamall, Kuching, Sarawak

• 8 November 2026 (Ahad) – IOI Mall Damansara, Selangor

Jadi, buat warga Kuching dan Selangor, bolehlah mula merancang masa untuk datang bersama keluarga serta rakan-rakan.

Mana tahu, daripada sekadar nak datang untuk tengok aktiviti yang disediakan, mungkin terus ‘fomo’ untuk mula mengamalkan gaya hidup lebih sihat.

Ingat, nak mula hidup sihat tak semestinya perlu tunggu usia meningkat atau badan mula sakit. Perubahan kecil yang dilakukan secara konsisten juga boleh membantu kita menjaga kesihatan diri.

Jangan tunggu dah sakit baru nak mula amal gaya hidup sihat.

Untuk maklumat lanjut mengenai BMSS 2026 dan aktiviti yang bakal berlangsung, layari portal Info Info Sihat Kementerian Kesihatan Malaysia serta ikuti hebahan rasmi penganjur.






Intipati
  • KKM menyarankan penjagaan postur badan ketika duduk, berdiri dan mengangkat barang.
  • Posisi tidur yang betul serta regangan sesuai turut membantu mengatasi sakit belakang.
  • Fisioterapi seperti rawatan haba dan senaman kekuatan otot belakang boleh dipertimbangkan jika perlu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan