Siakap Keli
Barisan Kenderaan Elektrifikasi UMW Toyota Motor Bakal Perkasa Inisiatif Mobiliti Hijau Kementerian Pengangkutan
Gambar Hiasan

Barisan Kenderaan Elektrifikasi UMW Toyota Motor Bakal Perkasa Inisiatif Mobiliti Hijau Kementerian Pengangkutan

Barisan Kenderaan Elektrifikasi UMW Toyota Motor Bakal Perkasa Inisiatif Mobiliti Hijau Kementerian Pengangkutan

PUTRAJAYA, 28 April 2025– UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) melakar satu pencapaian bermakna melalui kerjasama strategik bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), dalam usaha memperkukuh langkah ke arah masa depan mobiliti yang lebih bersih dan mampan. Sebagai tanda sokongan padu terhadap agenda kelestarian nasional, UMWT telah menyerahkan barisan kenderaan elektrifikasi berteknologi tinggi kepada MOT sebagai lambang sokongan padu terhadap matlamat negara dalam merealisasikan pembangunan jangka panjang yang rendah karbon.

Barisan kenderaan ini merangkumi 5 kenderaan elektrifikasi canggih terdiri daripada:

  • 3 Kenderaan Hibrid Elektrik (HEV) – Toyota Alphard, Camry dan Corolla Cross, serta
  • 2 Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) – Toyota bZ4X dan Lexus RZ.

Melalui inisiatif ini, MOT diberi peluang bagi menilai keupayaan sebenar teknologi elektrifikasi dari sudut kesesuaian, prestasi serta manfaatnya dalam konteks penggunaan harian. Pengalaman langsung ini bukan sahaja menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam, malah turut membuka jalan kepada pembangunan dasar yang lebih berpandangan jauh, berasaskan bukti serta praktikal – demi merealisasikan ekosistem pengangkutan negara yang lebih mampan, cekap dan berdaya saing.

“Perjalanan Malaysia menuju pelepasan sifar bersih menjelang 2050 bukanlah sekadar visi kosong, tetapi satu misi bersama yang menuntut kerjasama erat dari segenap sektor,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor. “Komitmen kami disertai dengan tindakan yang memberi makna, nilai dan impak sebenar. Ia membolehkan pembuat dasar menyelami dan merasai sendiri keupayaan teknologi elektrifikasi. Melalui pendekatan “Multipathway
Toyota”, elektrifikasi tidak hanya dilihat dari sudut inovasi, tetapi turut disesuaikan secara inklusif dan pragmatik mengikut keperluan, kesediaan dan kemampuan pelbagai segmen masyarakat. Dengan pendekatan ini, setiap lapisan masyarakat diberi peluang untuk melangkah bersama menuju masa depan yang lebih hijau dan lestari—tiada yang ketinggalan, tiada yang terpinggir.”

Kerjasama strategik ini bukan sahaja menjadi lambang iltizam UMW Toyota dalam mendukung matlamat karbon neutral, malah ia mencerminkan kepercayaan bahawa transformasi tenaga memerlukan keterlibatan menyeluruh — dari rakyat biasa hingga ke peringkat pembuat dasar tertinggi. Selaras dengan aspirasi Dasar Tenaga Negara 2022–2040 serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), inisiatif ini membuktikan bahawa peranan sektor swasta mampu mempercepat pencapaian aspirasi nasional.

Menghubungkan Inovasi dan Dasar Awam

Pengalaman luas UMWT dalam teknologi hibrid mencerminkan dedikasi utuh terhadap penyelesaian mobiliti yang bukan sahaja praktikal, malah lestari dan mampu dikembangkan seiring keperluan dunia moden. Dengan memperkenalkan barisan kenderaan elektrifikasi, UMWT menyediakan ruang pembelajaran langsung yang menyeluruh kepada pegawai MOT—dari kesiapsiagaan infrastruktur, pengalaman pengguna hinggalah kepada kecekapan operasi merentasi pelbagai platform. Pengalaman secara langsung ini amat berharga dalam membantu pembentukan dasar negara yang lebih berasaskan bukti serta berpandukan realiti, selaras dengan aspirasi Malaysia menuju sebuah ekosistem mobiliti yang bersih, berdaya tahan dan mampan. Meskipun elektrifikasi penuh kekal sebagai aspirasi jangka panjang negara, teknologi hibrid muncul sebagai solusi antara yang berkesan—meminimumkan pelepasan karbon tanpa memerlukan perubahan drastik terhadap infrastruktur sedia ada mahupun tabiat pengguna.

“Teknologi hibrid terus menjadi nadi utama dalam pelan elektrifikasi Toyota, khususnya dalam konteks pasaran seperti Malaysia,” kata Mohd Shamsor Mohd Zain, Pengarah Eksekutif UMW Toyota Motor. “Keupayaannya mengurangkan pelepasan karbon secara serta-merta tanpa memerlukan perubahan besar kepada ekosistem sokongan menjadikannya pilihan paling ideal. Ia bukan sekadar menawarkan penyelesaian praktikal, malah membina keyakinan dalam kalangan pengguna arus perdana sambil membuka jalan yang lebih lancar dan progresif menuju masa depan mobiliti elektrik sepenuhnya,”

Komitmen Bersama Ke Arah Kemajuan Lestari

Kerjasama strategik ini merupakan manifestasi sokongan padu terhadap Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021–2030, yang menyasarkan peningkatan penggunaan kenderaan elektrifikasi (xEV) sebanyak 15% menjelang 2030 dan melonjak ke 38% menjelang 2040. Dengan kemudahan akses kepada pelbagai teknologi kuasa elektrifikasi, MOT bukan sahaja dapat menelusuri pengalaman langsung dalam penggunaan teknologi hijau ini, malah berupaya memberikan input yang bernas bagi merencana hala tuju pembangunan infrastruktur masa depan yang lebih mampan dan bersedia menghadapi perubahan.

Inisiatif ini pula merupakan sebahagian daripada perjalanan holistik Toyota melalui pendekatan Multipathway, yang merangkumi spektrum luas teknologi seperti Kenderaan Hibrid, Elektrik Bateri (BEV), Hibrid Plug-in (PHEV), Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api (FCEV), serta inovasi terkini termasuk hidrogen dan bahan api sintetik. Pendekatan menyeluruh ini berakar daripada prinsip penilaian perlepasan karbon sepanjang kitaran hayat yang menyeluruh bagi memastikan setiap langkah menuju ke arah kelestarian adalah berasaskan sains, boleh diukur, dan membawa impak yang nyata serta berkekalan.

Berlandaskan visi “Move Your World”, UMWT memperlihatkan komitmen yang mendalam terhadap inovasi berasaskan nilai kemanusiaan, sekali gus memacu kemajuan praktikal dan inklusif, selain menjunjung tinggi tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar. Visi ini seiring dengan aspirasi global Toyota iaitu ‘Mencipta Kebahagiaan untuk Semua’ melalui penyelesaian mobiliti yang menjangkaui sekadar kenderaan, dengan matlamat memperkasa kehidupan, menyatukan komuniti dan memelihara bumi.

Melalui kerjasama ini, UMWT bukan sekadar menggerakkan manusia secara fizikal, malah turut mengilhamkan perubahan dasar, mencorakkan pemikiran dan membentuk hala tuju negara ke arah masa depan rendah karbon yang berimpak tinggi.

Kesungguhan UMWT menyertai sesi libat urus bersama kerajaan, industri serta komuniti mencerminkan satu gerakan kolektif yang kukuh untuk membina landskap mobiliti yang lebih hijau, pintar dan saling berhubung. Daripada memperkenalkan produk berinovasi tinggi hinggalah kepada penglibatan dalam wacana dasar dan program pendidikan awam, UMWT terus memainkan peranan sebagai pemangkin utama dalam mempercepatkan transformasi Malaysia menuju sistem pengangkutan yang lestari.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.