Tangguh Lagi, GTA 6 Bakal Keluar Tahun Depan
Peminat permainan video popular, Grand Theft Auto (GTA) 6 nampaknya perlu menunggu lebih lama lagi apabila ia akan dikeluarkan secara rasmi pada 26 Mei 2026.
Perkara itu dimaklumkan oleh Rockstar Games menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosial mereka.
Dalam kenyataan terbabit, mereka juga turut membuat permohonan maaf kepada kepada semua peminat yang menanti-nantikan permainan terbabit sejak sekian lama.
“Kami memohon maaf kerana GTA 6 akan keluar lebih lambat dari yang anda jangkakan. Kami juga terharu dengan minat dan keterujaan terhadap GTA yang baharu ini.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kesabaran anda,” katanya.
Tambah Rockstar Games lagi, mereka juga memerlukan lebih banyak masa untuk menyampaikan kualiti yang diinginkan.
“Dengan setiap permainan yang kami keluarkan, matlamatnya adalah untuk sentiasa mencuba dan melebihi jangkaan anda. GTA tidak terkecuali,” katanya.
BACA: Lebih Sedekad Menanti, Trailer GTA 6 Dapat Lebih 50 Juta Tontonan Dalam Masa 10 Jam
Maklumat lanjut atau kemas kini mengenai permainan itu akan dimaklumkan nanti.
Di media sosial, ramai yang tidak berpuas hati dengan penangguhan terbabit dan ada juga yang teruja dengan penambahan yang akan dilakukan di dalam permainan itu.
Memetik laporan CNA, penangguhan ini juga akan memberi kesan kepada industri yang lebih luas kerana GTA 6 dijangka menjadi pemangkin utama bagi pertumbuhan sektor itu.
Tambahan pula, harga konsol permainan telah dinaikkan susulan tarif Amerika Syarikat.
Seperti yang diketahui, GTA 6 sepatutnya dikeluarkan pada musim luruh 2025, dengan teaser pertama telah dikeluarkan pada Disember 2023.
Teaser itu telah ditonton lebih 250 juta kali tetapi nampaknya para peminat perlu bersabar sedikit saja lagi untuk mendapatkan versi penuh.
Menerusi teaser itu juga, dapat dilihat ia akan berlatarkan Vice City dan menyaksikan kekacauan yang sudah biasa dilakukan oleh pemain.
Salah satu perubahan yang paling dinanti-nantikan dalam GTA 6 ialah pengenalan dua protagonis utama, termasuk ketua wanita pertama siri itu, Lucia.
Watak-watak sokongan seperti Stefani, seorang kaunselor penjara dan seorang tokoh misteri seperti Joker juga dijangka akan dipaparkan dalam jalan cerita, lapor Livemint.
Dalam pada itu, perbincangan peminat di forum GTA telah membayangkan beberapa lagi nama watak yang berpotensi seperti Wyman, Dre, Sam, Kai, Billy dan Zach.
Watak-watak ini mungkin dipaparkan dalam permainan sebagai sebahagian daripada kumpulan sekutu dan kenalan Jason dan Lucia.
Sumber: Rockstar Games, Livemint