6 ‘Bathing Trails’ Wajib Singgah di Melbourne & Victoria
Jika merancang untuk ke Melbourne atau kawasan sekitar Victoria, jangan lepaskan peluang untuk menikmati pengalaman kesihatan dan ketenangan yang menyegarkan ini. Selain berjalan-jalan, ini masa terbaik untuk ‘healing’ dan rehatkan diri di beberapa lokasi spa dan kolam air panas paling menarik di Australia.
Daripada kolam semula jadi atas bukit hingga spa mewah dalam kehijauan alam, berikut adalah 6 destinasi pilihan untuk merasai sendiri keunikan ‘bathing trails’ di Melbourne dan Victoria.
1. Alba Thermal Springs & Spa, Mornington Peninsula
Perpaduan gaya moden dan ketenangan alam semula jadi—itulah pengalaman yang menanti di Alba Thermal Springs & Spa. Dikelilingi taman terjaga rapi, terdapat kolam hujan, kolam herba, kolam hutan, kolam sunset, serta kolam rooftop peribadi. Selain mandi mineral, pengunjung boleh menikmati rawatan spa atau menjamu selera di restoran dalam kawasan, Thyme.
Mulai 24 Jun 2025, Alba akan memperkenalkan The Sanctuary — penginapan mewah yang menyediakan lima buah villa eksklusif dan dua bilik studio. Terletak di lokasi tinggi dengan pemandangan menakjubkan, ia direka khusus untuk memberi ketenangan total, dihias dengan sentuhan lembut dan suasana nyaman hasil rekaan Kate Walker dari KWD.
2. Peninsula Hot Springs, Mornington Peninsula
Peninsula Hot Springs merupakan lokasi ‘healing’ yang cukup lengkap. Dengan lebih 70 pengalaman mandi berbeza, pengunjung boleh menikmati kolam bukit dengan pemandangan 360 darjah, sauna, bilik ais, kolam geoterma, dan juga bilik hammam gaya Maghribi.
Penambahan Eco Lodges menjadikan tempat ini lebih istimewa — tiga buah bangunan lodge dengan sepuluh bilik, direka mesra alam dan terletak berhampiran kolam renang serta tasik. Dengan seni tempatan dan reka bentuk berinspirasikan alam, ia menjadi tempat yang sesuai untuk berehat dan menyatu dengan ketenangan semula jadi.
3. Phillip Island Hot Springs, Phillip Island
Dijangka dibuka akhir tahun 2026, Phillip Island Hot Springs bakal menjadi pusat kesihatan baru di salah satu destinasi pelancongan paling terkenal di Victoria.
Fasa pertama projek melibatkan kolam besar dengan pelbagai aktiviti termasuk bar dalam air, laluan refleksologi dan zon mesra keluarga. Turut akan diperkenalkan ialah bengkel Apothecary yang menampilkan produk berasaskan mineral laut dan tumbuhan tempatan. Fasa seterusnya pula akan menambah ruang kebudayaan, pusat spa serta kemudahan Thalassotherapy di tepi laut.
4. Metung Hot Springs, Gippsland
Terletak menghadap Tasik Gippsland, Metung Hot Springs menawarkan kolam air panas atas bukit, mandian tong kayu dan kolam sejuk untuk membantu meningkatkan imuniti badan.
Pengunjung juga boleh berjalan menyusuri laluan semula jadi dan apabila malam menjelma, nikmati kolam ‘stargazing’ sambil menyaksikan langit malam penuh bintang dalam suasana tenang dan damai.
5. The Spa at Lake House, Daylesford
Terletak di kawasan Daylesford & Macedon Ranges, spa ini dikelilingi aliran air semula jadi dan kehijauan. Rawatan dimulakan dalam bilik spa ala rumah pokok, diikuti sesi urutan peribadi yang membantu mengurangkan tekanan dan ketegangan.
Terdapat juga rawatan wap dan aromaterapi melalui hydrostorm treatment, diakhiri dengan minuman teh herba sambil menikmati pemandangan lembah pakis yang sejuk dan mendamaikan.
6. Deep Blue Hot Springs, Warrnambool
Deep Blue Hot Springs merupakan spa terbuka dengan kolam air mineral semula jadi yang memberi manfaat kesihatan dan ketenangan minda. Nikmati pengalaman sensori dalam gua aroma bunga atau bersantai dalam kolam renungan.
Untuk rawatan lebih menyeluruh, cuba sesi terapi pernafasan dalam Salt Room, dan lengkapkan pengalaman dengan sajian sihat di Nourish Dome.
Rancang kunjungan ke Melbourne dengan cara yang berbeza — sebagai peluang untuk berehat, menyendiri dan menyegarkan diri. Biarkan ketenangan air panas dan spa mengembalikan semula tenaga dan keseimbangan dalaman.
Untuk maklumat lanjut: visitmelbourne.com
Ikuti juga:
Facebook: visitmelbourne
Instagram: @visitmelbourne
TikTok: @melbourne
Gunakan #visitmelbourne untuk berkongsi pengalaman menarik anda di sana.