Doktor Kongsi Bahaya TB, Kena Buat Apa Untuk Cegah
Semakin hari, semakin kerap kita mendengar berita tentang jangkitan penyakit tuberkulosis, atau singkatannya, TB. Penyakit berjangkit ini tidak hanya menyerang dan berbahaya terhadap kanak-kanak, malah individu dewasa turut boleh menemui ajal akibat TB.
Baru-baru ini, seorang lelaki berkongsi kisah keperitan yang dilalui apabila isteri dan anak kecilnya dijangkiti TB tanpa disedari. Biarpun kini kedua ibu dan anak sudah bebas daripada jangkitan kuman TB, namun kesan berpanjangan yang perlu ditanggung amat menyayat hati.
Berikutan itu, kali ini SK kongsikan bersama pembaca perkongsian daripada seorang pakar perubatan keluarga, Dr Amirul Azhar dalam menghuraikan secara ringkas tentang penyakit TB.
Masih ramai yang terleka tentang TB
Saya pernah tulis panjang lebar tentang TB, penyakit yang disebabkan oleh kuman Mycobacterium tuberculosis. Tapi kali ni saya nak ringkaskan, biar lebih ramai sedar yang TB masih wujud di Malaysia.
1. Ramai orang sebenarnya sudah dijangkiti TB tetapi tiada gejala. Ini dipanggil latent TB. Kuman ada dalam badan, tapi senyap sebab sistem imun berjaya kekang.
2. Bila imuniti kita jatuh (contohnya disebabkan HIV, kencing manis yang tak terkawal, atau faktor lain), kuman boleh ‘bangkit semula’ dan latent TB berubah jadi TB aktif. Gejala mula muncul.
3. TB boleh jangkiti mana-mana organ. Paling biasa paru-paru, tapi boleh juga serang otak, hati, usus, buah pinggang, kelenjar dan lain-lain.
4. Rawatan TB lama dan intensif. Guna empat jenis antibiotik serentak, sekurang-kurangnya enam bulan. Kalau ubat tak diambil ikut jadual, kuman boleh jadi kebal (MDR-TB) dan lebih sukar dirawat.
5. Vaksin BCG yang diberi waktu bayi tu berfungsi mencegah kematian dan jangkitan serius TB pada bayi dan kanak-kanak. Bagi orang dewasa, perlindungan vaksin ni makin berkurang. Sebab tu kita vaksin awal. Kita tak tahu siapa di sekeliling yang ada TB aktif.
6. Pengesanan TB aktif mudah: ambil sampel kahak atau organ terlibat. Untuk yang tak bergejala tetapi berisiko tinggi (contohnya kontak rapat atau petugas kesihatan), kita buat ujian Mantoux atau IGRA.
7. Sekarang, orang dengan latent TB disarankan untuk dirawat. Rawatan lebih ringkas, biasanya hanya tiga bulan, dengan dua jenis ubat. Bila habis rawatan, risiko untuk latent TB jadi aktif boleh dikurangkan sehingga 90 peratus.
Kalau tak dirawat, ada risiko lima hingga 10 peratus untuk latent TB berubah menjadi aktif dalam sepanjang hayat, paling tinggi dalam dua tahun pertama selepas dijangkiti.
Jadi apa kita patut buat?
1. Kalau ada batuk berpanjangan, batuk berdarah, demam lama, kurang selera makan, atau susut berat badan, jumpa doktor segera.
2. Vaksinkan bayi anda. Mereka paling tinggi risiko untuk dapat komplikasi maut akibat TB.
3. Kalau anda berisiko tinggi (tinggal dengan pesakit TB, kerja di fasiliti kesihatan, atau ada imuniti lemah), buat ujian saringan TB.
TB masih ada dan boleh bawa maut kalau tak dicegah dan dirawat awal.
Sumber: Amirul Amzar
BACA: Masih Berbisa, Minah Saleh Teruja Beli Kereta Kelisa Terpakai
BACA: Anak & Isteri Dijangkiti TB, Lelaki Kongsi Pengalaman Pahit Sekeluarga