Kafe Di Dubai Tarik Perhatian, Beri Peluang Golongan Sindrom Down Bekerja
Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sering kali berhadapan dengan pelbagai cabaran lebih-lebih lagi sekiranya ingin mendapatkan pekerjaan.
Mereka sering tersisih akibat stigma masyarakat walaupun berkeupayaan dan mempunyai kesungguhan untuk melakukan sesuatu kerja.
Dunia pekerjaan yang kekurangan akses kemudahan dan peluang juga turut sama menyukarkan keadaan mereka.
Apabila diberikan persekitaran yang sesuai, golongan OKU mampu untuk menyerlah dalam mana-mana bidang pekerjaan sekalipun.
Pada 25 April, 21 Cafe dibuka di Al Ghurair Centre, Diera di tengah kota Dubai, membuka peluang kepada mereka yang kurang upaya.
Kafe ini menarik perhatian warga maya bukan sahaja kerana keenakan kopi dan kek yang ditawarkan, tetapi juga kerana kisah dan tenaga kerja di sebaliknya.
21 Cafe dibuka oleh seorang bapa, Raghu Raman Dhandapani, yang mempunyai seorang anak Sindrom Down.
Bagi Raghu, kafe ini lebih dari sekadar satu perniagaan, ia merupakan satu usaha untuk membina dunia di mana mereka yang kurang upaya mampu hidup berdikari.
Ramai dalam kalangan stafnya terdiri daripada individu yang menghidap Sindrom Down yang bekerja bersama barista terlatih sebagai pelayan pelanggan.
Makna nama kedai yang membawa makna simbolik
“21” pada nama kafe itu merujuk kepada “Trisomi 21” iaitu kromosom ke-21 tambahan yang mencirikan individu Sindrom Down.
Buat masa sekarang, empat orang individu Sindrom Down bekerja bersama barista dan Raghu merancang untuk mengembangkan perniagaan ini ke seluruh Dubai.
Di samping nilai kemanusiaan yang diangkat, 21 Cafe turut menekankan kualiti dalam setiap pesanan.
Kopinya dibancuh segar, manisan (dessert) disediakan dengan teliti dan rekaan dalaman kedai yang cantik turut berjaya menarik pelanggan.
21 Cafe bukan sekadar sebuah perniagaan tetapi satu gerakan ke arah perubahan sosial.
Ia membuktikan bahawa syarikat boleh berusaha untuk melibatkan semua orang tanpa mengorbankan mutu atau pengalaman pelanggan.
Di tengah-tengah kota Dubai yang pesat membangun, 21 Cafe berdiri sebagai lambang harapan dan perubahan.
BACA: Resipi Mi Kari Putih, Rasa Macam Makan Kat Kedai
BACA: Ramai Tanya, Mdno Kongsi Sebab Berhenti Kerja Tetap
BACA: Pasukan Pancaragam SK Kuala Ketil Berentap Dalam Pertandingan Antarabangsa
Sumber: Startup Dubai via Facebook, Gulf News