Stok Beras Indonesia ‘Melimpah’, Capai Jumlah Tertinggi Dalam Tempoh 57 Tahun
Kerajaan Indonesia mengumumkan bahawa stok simpanan beras di negara itu mencapai sehingga 3,502,895 tan setakat Ahad. Ia merupakan paras tertinggi dalam tempoh 57 tahun.
Menurut laporan CNBC Indonesia, stok tersebut disimpan di gudang Perum Bulog.
Menteri Pertanian, Andi Amran Sulaiman berkata Indonesia optimis untuk memiliki simpanan beras hingga 4 juta tan pada bulan ini.
Beliau berkata stok ini datang daripada pengeluaran domestik dan tanpa bergantung kepada import.
“Ada kemungkinan dalam 15 hari ke depan, paling lambat 20 hari, stok (beras) kita akan mencecah 4 juta tan. Sangat mungkin kerana jumlah yang dikumpulkan mencapai 50 ribu tan sehari,” katanya seperti yang dilapor CNN Indonesia.
Tambahnya lagi, jumlah beras domestik dari Januari hingga awal Mei 2025 mencecah 1.88 juta tan. Pencapaian tersebut merupakan yang tertinggi dalam sejarah mengikut tempoh sama. Ia juga melebihi purata tahunan lima tahun lepas iaitu hanya sekitar 1 juta tan hingga 1.2 juta tan.
BACA: Harga Beras Di Indonesia Tinggi, Tapi Pendapatan Pesawah Rendah – Bank Dunia
Menurutnya, peningkatan pengeluaran beras terbabit didorong oleh program intensif dan perluasan tanah seperti pengepaman di Pulau Jawa dan penambahbaikan pengairan di luar Jawa. Dalam pada itu, pengagihan baja juga dilakukan secara lebih tepat pada masanya dan bersasar mengikut arahan Presiden.
Lebih menarik, tanah yang sebelum ini hanya boleh ditanam sekali kini boleh dituai dua kali.
“Bagi purata nasional, ia pasti akan meningkat. Badan Pusat Statistik (BPS) sudah jangka bahawa produksi dan produktiviti akan meningkat,” katanya lagi.
Bagi menjangkakan lonjakan bekalan itu, kerajaan juga telah menyewa sebuah gudang tambahan berkapasiti 1.1 juta tan dan sedang bersiap sedia untuk membina gudang kecemasan di kawasan yang mengalami lebihan stok seperti Aceh dan Nusa Tenggara Barat.
Berkenaan potensi eksport, Amran menyatakan bahawa kerajaan sedang menunggu arahan daripada Presiden Prabowo Subianto.
“Kalau Presiden kata nak eskport, kita akan eksport. Kalau untuk bantuan sosial, kita akan terus lakukan. Pendek kata, apa sahaja yang diperintahkan oleh Presiden, kita akan lakukan,” katanya.
Sumber: CNN Indonesia