Harga Beras Di Indonesia Tinggi, Tapi Pendapatan Pesawah Rendah – Bank Dunia
Harga beras di Indonesia merupakan antara yang tertinggi di Asia Tenggara, tetapi pendapatan pesawah tetap rendah, lapor Tempo.com.
Bank Dunia menerusi Kajian Pertanian Bersepadu Agensi Perangkaan Pusat mendedahkan purata pendapatan bersih petani kecil hanya sekitar Rp5 juta (hampir RM1,400) setahun.
“Purata pendapatan petani kecil adalah kurang daripada USD 1 (RM4.12) sehari atau USD 341 (RM1,405.77) setahun. Petani mendapat keuntungan rendah daripada pertanian padi,” kata Pengarah Negara Bank Dunia bagi Indonesia dan Timor-Leste, Carolyn Turk.
Beliau berkata demikian semasa Persidangan Beras Antarabangsa Indonesia (IRRC) di Nusa Dua, Bali pada Khamis lalu.
Menurut beliau, dasar kerajaan yang mengehadkan import tanpa tarif adalah salah satu punca isu ini.
“Terdapat 95 peratus import sektor makanan dikawal melalui langkah bukan tarif, termasuk sekatan kuantitatif dan langkah bukan tarif lain seperti sanitasi, fitosanitari, masalah teknikal, pemeriksaan pra-penghantaran dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Transformasi dan Hubungan Institusi di Perum Bulog, Sonya Mamoriska berkata, pihaknya akan membincangkan isu tersebut.
Ini termasuklah isu perubahan iklim, gangguan ekonomi dan ketegangan geopolitik yang memberi kesan kepada pengeluaran dan pengedaran beras.
“Isu penting ketika ini adalah harga pengeluaran berdepan dengan pelbagai masalah yang memberi kesan kepada masyarakat tempatan dan Sistem Makanan Global.
“Salah satu cabaran yang paling serius ialah perubahan iklim dan produktiviti,” jelas Sonya.
BACA: Cecah Puluhan Ribu Per Liter, Ini 5 Air Mineral ‘Harga Kayangan’
Dalam pada itu, Agensi Makanan Indonesia turut mengakui harga beras tempatan ketika ini melambung tinggi susulan kos pengeluaran yang semakin meningkat.
Namun, Pengarah Pengagihan dan Rizab Makanan, Rachmi Widiarini, menegaskan bahawa golongan petani harus mendapat manfaat daripada pengeluaran ini.
Katanya lagi, kerajaan perlu memainkan peranan dalam mengawal isu ini termasuk akses bekalan beras kepada rakyat.
Sehingga kini, harga runcit beras biasa dan beras premium sedang dinilai semula sebagai usaha kerajaan mengawal bekalan dan harga beras dalam negara.
Untuk makluman, harga beras per kilo adalah berbeza mengikut wilayah di Indonesia.
Di wilayah Jawa, Lampung dan Sumatera Selatan, harga runcit tertinggi bagi beras biasa ialah RM3.41 per kilogram (kg), manakala bagi beras premium ialah RM4.07 per kg.
Berbeza pula di wilayah Aceh, Sumatera Utara, Sumatera Barat, Bengkulu, Riau, Kepulauan Riau, Jambi dan Kepulauan Bangka Belitung. Harga runcit tertinggi bagi beras biasa ialah RM3.58 per kg, manakala bagi beras premium ialah RM4.20 per kg.
BACA: Ini 5 Produk Malaysia Yang Disangka Milik Indonesia
BACA: Kapal Layar Ini Dilihat ‘Terbang’ Atas Air, Pakar Jelas Ini Sebabnya
Sumber: Tempo.com