Kapal Layar Ini Dilihat ‘Terbang’ Atas Air, Pakar Jelas Ini Sebabnya
Bila sebut tentang kapal layar, kebanyakan daripada kita pasti terbayang kapal yang belayar di atas laut, kan?
Kapal layar juga sering dikaitkan dengan sukan pelayaran, iaitu sukan air yang melibatkan kawalan kapal di laut, biasanya dikendalikan oleh dua atau tiga orang dalam satu masa.
Walaupun nampak mudah, mengawal kapal layar sebenarnya memerlukan kemahiran yang tinggi.
Mereka yang mengendalikannya perlu pandai mengawal layar dan membaca arah pergerakan angin.
Jika salah mengendalikan, kapal boleh hilang kawalan, termasuk berisiko untuk terbalik.
Kapal layar boleh ‘terapung’ di udara?
Namun, dalam perlumbaan America’s Cup baru-baru ini, satu perkara menarik telah mencuri perhatian ramai.
Beberapa kapal layar dalam perlumbaan ini dilihat terapung atau seolah-olah ‘terbang’ di atas permukaan air.
https://x.com/americascup/status/1685601736809947136
Perkara ini mengundang tanda tanya ramai tentang bagaimana kapal-kapal ini mampu terapung tanpa menyentuh air.
Susulan itu, bagi menjawab persoalan ini, Dr. Aid Fawzal, seorang pakar dalam bidang Dinamik Bendalir Pengiraan (Computational Fluid Dynamics), berkongsi penjelasan tentang fenomena tersebut.
Menurut Dr. Aid Fawzal, kemampuan kapal layar ini untuk terapung atau terbang di atas air laut adalah disebabkan bantuan satu alat khas yang dikenali sebagai ‘hidrofoil’.
“Hidrofoil berfungsi seperti aerofoil pada kapal terbang. Apabila ada aliran bendalir (air laut), hidrofoil akan menjana daya angkat (lift force), yang membolehkan kapal tersebut terangkat dari permukaan air,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr. Aid Fawzal menerangkan bahawa kelikatan cecair seperti air laut memainkan peranan penting dalam teknologi ini.
“Air laut lebih likat daripada angin. Jadi, untuk ‘membelah’ air memerlukan lebih banyak tenaga dan menghadapi lebih banyak rintangan berbanding ‘membelah’ angin.
“Teknologi ini sebelumnya hanya digunakan dalam perlumbaan, tetapi kini ia telah diadaptasi untuk kegunaan rekreasi, seperti dalam papan luncur air dan motorbot.
“Kemajuan dalam teknologi ini dicapai melalui penggunaan teknik simulasi komputer dalam bidang bendalir, yang dikenali sebagai ‘Computational Fluid Dynamics (CFD)’,” katanya.

Tambah Dr. Aid Fawzal, pembangunan teknologi ini memerlukan kepakaran dalam pelbagai bidang, termasuk kejuruteraan, fizik, matematik, perkomputeran serta kemahiran dalam analisis, pemikiran kritis dan inovasi.
BACA: Kenapa Gred ‘S’ Yang Terbaik Di Jepun, Bukannya ‘A’?
BACA : Cecah Puluhan Ribu Per Liter, Ini 5 Air Mineral ‘Harga Kayangan’
BACA: Ini 5 Produk Malaysia Yang Disangka Milik Indonesia
Sumber: X @aidfawzal