Siakap Keli
helikopter terhempas
Kredit: PTI Via The New Indian Express

Helikopter Terhempas Di India, 6 Disahkan Maut

Helikopter Terhempas Di India, 6 Disahkan Maut

Sekurang-kurangnya enam penumpang dilaporkan terbunuh selepas sebuah helikopter terhempas di negeri Uttarakhand, India.

Memetik laporan Anadolu Ajansi, Doordashan News yang merupakan media kendalian kerajaan melaporkan bahawa seorang lagi mangsa cedera parah.

Difahamkan, helikopter berkenaan terhempas berhampiran kawasan mata air panas Ganganani di daerah Uttarkashi di negeri terbabit.

“Pasukan pentadbiran dan bantuan tiba di lokasi nahas helikopter,” lapor media terbabit.

Sementara itu, Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami mengarahkan pihak pentadbiran untuk memberikan semua bantuan yang diperlukan kepada mangsa yang cedera.

Beliau juga menggesa agar siasatan lanjut mengenai kemalangan itu dilakukan.

“Saya sentiasa berhubung dengan pegawai dalam hal ini dan setiap keadaan sedang dipantau,” katanya.

Menurut laporan India Today, Pasukan Tindakan Bencana Negeri (SDRF) mengesahkan helikopter milik syarikat AeroTrans Services Private Limited itu terhempas dan jatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 200-250 meter.

Helikopter yang dikendali oleh Kapten Robin Singh itu berlepas dari helipad Sahastradhara di Dehradun menuju ke helipad Kharsali di Yamunotri. Empat penumpang dikenal pasti dari Mumbai manakala dua lagi dari Andhra Pradesh.

Sebagai tindak balas kepada nahas tersebut, pihak polis, anggota tentera darat, pasukan tindak balas pantas pengurusan bencana, pasukan ambulan 108 dan pegawai tempatan digerakkan ke lokasi kejadian.

Pesuruhjaya Bahagian Garhwal, Vinay Shankar Pandey turut mengesahkan nahas yang berlaku berhampiran Ganganani itu.

“Pasukan pentadbiran dan bantuan hadir di lokasi nahas helikopter,” maklumnya.

Menurut pegawai, Biro Siasatan Kemalangan Pesawat (AAIB) akan menjalankan siasatan terhadap nahas helikopter berkenaan.

Sumber: Anadolu Ajansi, India Today

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.