Saharul Ridzwan Kongsi 3 Benda Perlu Diterapkan Bila Urus Kewangan
Teknik mengurus kewangan telah banyak dikongsikan di media-media sosial. Sama ada dengan cara menabung wang tunai, mahupun menggunakan dompet dalam talian. Namun jika kesedaran dan kehendak diri tidak terpacul, perkongsian setinggi gunung pun tidak akan mampu mengubah cara kita mengurus kewangan.
Begitulah yang dirasai oleh pelakon terkenal tanah air, Saharul Ridzwan atau nama sebenarnya, Muhammad Saharul Ridzwan Hashim. Bermula sebagai peserta Hero Remaja, kini bergelar usahawan produk penjagaan kulit.
Kesedaran dirinya dalam mengurus kewangan timbul tatkala usia 36 tahun menjengah. Berkongsi saat dirinya tersedar akan kepentingan mengurus kewangan, Saharul turut menyelit beberapa tip praktikal bagi sesiapa sahaja. Ikuti perkongsian dari hati pelakon drama Hati Perempuan ini.
Bayar kerana ingin selesa, bukan kerana perlu
Dulu, aku fikir selagi ada duit masuk tiap bulan, semua okay. Tapi rupanya duit masuk banyak pun, kalau tak ada sistem, tetap rasa tak cukup. Rasa macam air paip bocor. Gaji masuk kanan, keluar kiri. Bila masa nak bayar komitmen mcm sewa pejabat, rumah, gaji pekerja, sekolah anak, terus menggelabah.
Satu hari aku duduk sorang-sorang. Aku kira balik semua.
“Mana hilangnya duit aku tiap bulan?”
Rupanya banyak benda aku bayar sebab nak nampak selesa, bukan sebab aku perlu. Itu turning point aku. Aku mula belajar tiga benda:
1. Asingkan duit ikut fungsi.
Duit masuk, aku terus pecah siap-siap nafkah dan keluarga, komitmen bulanan, simpanan dan pelaburan, perniagaan dan pertumbuhan, diri sendiri untuk reward dan sedekah.
2. Wajib ada sasaran.
Duit tanpa hala tuju akan habis ikut emosi. Tapi kalau ada sasaran, contoh nak simpan RM100 ribu untuk rumah, atau capai RM1 juta setahun untuk perniagaan, setiap ringgit yang keluar akan jadi lebih bermakna.
3. Bina tabiat, bukan tunggu motivasi.
Nak urus duit tak perlu tunggu kaya. Kena mula sekarang. RM10 pun boleh urus, kalau kita tahu kenapa kita buat.
Sekarang, aku bukan orang paling kaya. Tapi aku lebih tenang. Sebab aku mula faham satu benda. Rezeki itu bukan sekadar angka. Tapi ujian. Bila kita pandang duit sebagai amanah dari Allah, bukan milik mutlak kita, barulah datang rasa berhati-hati, rasa syukur, rasa cukup.
Duit bukan tuan, tetapi hamba yang perlu aku urus
Aku tahu, duit aku bukan lagi tuan. Tapi hamba yang aku urus ikut jalan yang Allah redha. Aku dah nampak perbezaannya. Bila ada struktur kewangan, hidup jadi lebih teratur. Kita tahu bila nak melabur, bila nak berjimat, dan bila patut beri lebih kepada orang lain. Paling penting, kita lebih yakin dengan masa depan.
Sebab kita bukan lagi tunggu rezeki, tapi kita urus rezeki dengan amanah.
Kalau kau tengah rasa sesak dengan komitmen, cuba duduk. Tulis semua. Satu-satu. Jangan lari. Hadap. Kadang-kadang Allah tak bagi kita lebih, sebab Dia nak tengok sejauh mana kita boleh jaga yang sikit. Bila kita dah pandai jaga yang sikit, insyaAllah rezeki yang besar tu memang tengah tunggu giliran.
Bukan sebab kita layak. Tapi sebab kita dah bersedia. Moga terhindar dari istidraj. Amin.
Sumber: Facebook Saharul Ridzwan
BACA: 10 Barang Daiso Perlu Anda Miliki, Murah Tapi Sangat Berguna
BACA: Lelaki Borak Dengan Budak Korea Cuit Hati Ramai, “Macam Ayam & Itik”