Siakap Keli
malaysia myanmar pasca-bencana
Kredit: Agensi Nuklear Malaysia

Malaysia Perkukuh Peranan Global Dalam Keselamatan Infrastruktur Pasca-Bencana Di Myanmar

Malaysia Perkukuh Peranan Global Dalam Keselamatan Infrastruktur Pasca-Bencana Di Myanmar

Malaysia terus memperkukuh peranannya di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan aktif dalam inisiatif keselamatan global, khususnya dalam bidang kejuruteraan awam pasca-bencana.

Baru-baru ini, negara telah menghantar dua pakar yang juga Pegawai Penyelidik dari Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) ke Myanmar bagi menyertai Misi Pakar Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Misi yang berlangsung pada 28 April hingga 2 Mei itu merangkumi bidang Ujian Tanpa Musnah (NDT) yang membantu negara berkenaan menilai kerosakan struktur akibat gempa bumi pada 28 Mac lalu.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook agensi berkenaan, penggunaan teknologi NDT membolehkan pemeriksaan dilakukan tanpa menjejaskan struktur sedia ada. Malah, ia juga dapat memastikan penilaian terhadap integriti struktur dan keselamatannya untuk penggunaan jangka masa panjang dilakukan secara menyeluruh.

“Penyertaan Malaysia dalam misi ini menyerlahkan kepakaran negara dalam teknologi NDT dan komitmen jitu terhadap keselamatan infrastruktur serantau dan global.

“Sebagai negara anggota aktif IAEA, Malaysia melalui Agensi Nuklear Malaysia terus memainkan peranan penting dalam membangunkan keupayaan teknikal dan memperkukuh rangkaian kerjasama antarabangsa dalam pengurusan bencana,” kata agensi berkenaan.

Menurut Nuklear Malaysia, misi di Myanmar ini penting bagi memperkukuh penglibatan negara dalam pelbagai operasi bantuan teknikal IAEA. Terdahulu, Malaysia pernah terlibat dalam operasi di Mexico pada 2017, Albania pada 2019 dan Lubnan pada 2021. Malah, pasukan operasi bantuan teknikal juga pernah dihantar ke Ecuador pada 2023, Turkiye dan Syria, kedua-duanya pada 2024.

“Ia membuktikan kesungguhan Malaysia dalam menyumbang kepakaran untuk keselamatan sejagat khususnya dalam bidang kejuruteraan awam pasca-bencana,” tambah agensi tersebut.

Usaha konsisten Nuklear Malaysia mengukuhkan reputasi negara sebagai antara peneraju dalam teknologi NDT.

Dalam masa yang sama, usaha ini turut mencerminkan peranan penting Malaysia sebagai rakan global yang diyakini dalam memajukan keselamatan struktur serta pembangunan infrastruktur yang mampan di peringkat global.

Sumber: Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia)

BACA: Panasonic Sasar Berhentikan 10,000 Pekerja Di Seluruh Dunia

BACA: Tumor Sebesar Kepala, Adik Hafizur Perlu Bantuan Jalani Pembedahan

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.