Siakap Keli
Rafizi letak jawatan
Gambar: BERNAMA

Pemilihan PKR: Rafizi Sedia Letak Jawatan Dalam Kabinet Jika Kalah

Pemilihan PKR: Rafizi Sedia Letak Jawatan Dalam Kabinet Jika Kalah

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan bersedia untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet sekiranya beliau gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada 24 Mei ini.

Menurut Rafizi, keputusan tersebut dibuat sebagai tanda menghormati mandat akar umbi parti.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa beliau tetap akan meneruskan khidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan meskipun tidak lagi menganggotai Jemaah Menteri.

“Saya sudah bercakap dengan rakan-rakan saya dalam kerajaan, termasuk mereka dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Barisan Nasional dan menjamin bahawa pertandingan dalaman ini tidak akan mengganggu pentadbiran.

“Tidak akan ada huru-hara, tidak ada kekacauan dan tiada ancaman kepada kestabilan.

“Kalau saya kalah, saya akan meletak jawatan. Saya akan kembali sebagai Ahli Parlimen biasa. Saya juga bersyukur kerana ada hikmah di sebalik itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap dalam podcast Yang Bakar Menteri (YBM) yang disiarkan secara langsung di media sosial pada Sabtu.

BACA: MCMC Periksa Premis, Sita Telefon Bimbit Dan Kad Sim, Siasat Kandungan Facebook Berunsur 3R

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar telah mengesahkan pencalonannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.

Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan bahawa sekiranya tidak lagi memegang jawatan menteri, beliau akan mempunyai lebih ruang untuk bersuara secara bebas mengenai pelbagai isu, tanpa terikat dengan etika Jemaah Menteri.

“Satu, saya tidak lagi dibebankan dengan tugas berat sebagai menteri. Kedua, saya akan lebih gembira kerana mulut dan tangan saya tidak lagi terikat.

“Sebagai anggota pentadbiran, saya tidak boleh menyuarakan ketidaksetujuan secara terbuka walaupun, contohnya, saya tidak setuju dengan pelantikan (Tan Sri) Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) .

“Kalau saya cakap, itu akan menyusahkan Perdana Menteri sebab pelantikan itu adalah budi bicara beliau,” ujar Rafizi.

Dalam pada itu, Rafizi turut menegaskan bahawa kempen pemilihan parti yang sedang berlangsung tidak akan menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.

BACA: Gudang Simpanan Cat Terbakar Punca Asap Hitam Penuhi Ruang Udara

BACA: Pelancong Malaysia Maut Jatuh Dari Hotel Phuket

Sumber: Astro Awani

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.