Kemalangan FRU: Masalah Stereng Lori Batu Dipercayai Punca Insiden
Kemalangan maut melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5, Ipoh pada awal pagi tadi, dipercayai berpunca daripada kegagalan fungsi stereng sebuah lori muatan batu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Perak, CP Dato’ Noor Hisam Nordin menerusi satu kenyataan, sebentar tadi.
Menurut beliau, kejadian tragis itu berlaku sekitar jam 8.51 pagi apabila lori FRU yang membawa seramai 18 orang pegawai rendah polis (PRP) dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas sempena perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.
Difahamkan, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Hilir Perak telah menerima maklumat mengenai kemalangan terbabit melalui talian MERS999 sebelum kereta peronda (MPV) PK 251 diarahkan ke lokasi kejadian.
BACA: Lapan Maut, Tiga Cedera Parah Kemalangan Libatkan Kenderaan FRU Di Teluk Intan – Polis
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai lapan orang PRP FRU Unit 5 termasuk pemandu lori telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala, seramai enam orang PRP FRU Unit 5 mengalami cedera parah dan empat orang PRP FRU Unit 5 mengalami cedera ringan.
“Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan,” kata beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati lori FRU yang dinaiki para anggota dirempuh dari arah hadapan oleh lori muatan batu yang dipercayai mengalami masalah fungsi stereng.
BACA: Kemalangan Lori FRU: Angka Kematian Meningkat Sembilan Orang
Sumber: Polis Perak